Taktik Menyamar Pesakit Sebelum Samun Klinik
Kuala Lumpur, 11 Julai - Menyamar sebagai pesakit sebelum
menyamun klinik yang dikunjungi antara taktik sekumpulan penjenayah yang aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Kajang.
Pemangku
Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata selain klinik yang
lazim disamun beberapa jam sebelum ditutup, kumpulan itu juga
menyasarkan premis perniagaan dan kenderaan di sekitar daerah sama.
"Dalam
serbuan awal pagi semalam di sebuah flat di Bandar Mahkota, Cheras,
kita menahan empat daripada mereka termasuk seorang wanita, selepas
dipercayai terbabit menyamun sebuah klinik pada 25 Jun lalu," katanya
pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, dekat sini hari
ini.
Katanya
polis juga merampas pelbagai perkakas yang diguna untuk menyamun,
parang, pelbagai telefon bimbit, jam tangan serta sebuah kereta jenis
Proton Iswara yang dipercayai diguna untuk melakukan jenayah.
Katanya
empat suspek yang berusia antara 17 dan 30 tahun itu dipercayai anggota
kumpulan penjenayah yang terlibat dalam 10 kes samun membabitkan
klinik, restoran, pusat urut, premis menjual VCD, pusat perabot dan
sebuah kenderaan pacuan empat roda di daerah itu sejak tiga bulan lepas.
Seorang
daripada yang ditahan juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes samun
di sebuah poliklinik di Taman Pertama, Cheras, 4 Julai lepas, katanya.
Thaiveegan berkata polis sedang memburu sekurang-kurangnya enam lagi anggota kumpulan itu.
Sementara itu, beliau berkata polis turut menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun berbeza di daerah Kajang.
Thaiveegan
berkata dua daripada suspek yang ditahan semalam dipercayai mempunyai
kaitan dengan kes cubaan menyamun sebuah gerai mamak di Taman Megah pada
hari yang sama, manakala dua lagi yang ditahan pada 1 Julai lepas
mempunyai kaitan dengan kes samun sebuah pasaraya Cash & Carry di Taman Taming Jaya, juga pada hari mereka ditahan.
Sumber : BERNAMA