Pasangan Kekasih Aktif Pecah Rumah Di Sekitar Nibong Tebal D
Nibong
Tebal, 10 Julai - Polis percaya dapat menyelesaikan 25 kes pecah rumah
di sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) selepas menahan sepasang kekasih
ketika sedang berlegar-legar di sebuah kawasan di Sungai Bakap, di sini
pada 25 Jun lepas.
Ketua
Polis Daerah SPS, Supt Shafien Mamat berkata bertindak hasil maklumat
awam dan risikan, polis mengekori sebelum menahan pasangan kekasih
berumur 27 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu.
"Susulan
penahanan mereka, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Panchor Mutiara
di sini dan merampas pelbagai barangan curi yang dipercayai hasil
kegiatan pecah rumah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya
antara barangan yang ditemui itu ialah enam keping kad kredit milik
individu lain, satu kad pengenalan, lima surat pajakan emas, satu set
komputer riba, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama dan lima buah
kamera digital.
"Hasil
maklumat, kita turut membuat pemeriksaan di sebuah kedai pajak gadai di
Parit Buntar, Perak dan menemui semula seutas rantai tangan emas, dua
utas rantai leher dan sepasang subang yang dicuri," katanya.
Shafien
berkata siasatan lanjut polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di
Taman panchor dan menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang
dipercayai menjadi pembeli barangan curi oleh pasangan kekasih terbabit.
Dalam
serbuan kedua itu, polis menemui lima komputer riba pelbagai jenama.
Katanya lanjutan itu polis memeriksa sebuah lagi kedai pajak gadi di
Pekan Bandar Baharu, Kedah dan merampas dua loket emas, empat bentuk
cincin emas, masing-masing satu utas rantai tangan dan rantai leher
dicuri.
Beliau berkata semua barangan yang berjaya dirampas dan ditemui semula itu bernilai RM50,000.
"Kita
percaya pasangan kekasih itu aktif menjalankan kegiatan pecah rumah
sejak Ogos tahun lepas dan dengan penahanan mereka, polis berjaya
menyelesaikan sekurang-kurangnya 25 kes pecah rumah," katanya.
Beliau
berkata siasatan juga mendapati lelaki pasangan kekasih itu mempunyai
13 rekod jenayah berkaitan curi, pecah rumah dan dadah manakala lelaki
kedua mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
"Semua mereka kini direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Sumber : BERNAMA