Suspek Naik Motosikal Curi Ditahan
Kuantan, 7 Mei - Seorang lelaki yang memiliki tiga rekod jenayah lampau ditahan setelah didapati merayau-rayau dalam keadaan mencurigakan dengan menunggang motosikal di Taman Guru dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata suspek berusia 41 tahun itu ditahan anggota Sukarelawan Simpanan Polis dengan bantuan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kuantan pada pukul 5 pagi.
"Dia yang memiliki tiga rekod jenayah berkaitan dadah turut memiliki sebuah motosikal yang dipercayai dicuri. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu dalam pemeriksaan di hadapan sebuah hotel di Jalan Beserah di sini petang semalam, seorang penagih ditahan dan motosikal dipercayai dicuri dirampas.
Abdul Aziz berkata anggota polis pada mulanya mendapati sebuah motosikal yang diletak di hadapan hotel berkenaan didapati memiliki nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang sebelum ini.
Beliau berkata pemilik motosikal itu ditahan selepas keluar dari hotel tersebut dan pihak polis menemui 13 batang rokok yang dipercayai mengandungi ganja, 12 biji pil Erimin 5 dan dua paket dipercayai kokain pada motosikal itu.
Dalam satu lagi kes, lapan penagih ditahan di sarang dadah 'Port Iskanda' berhampiran Masjid Kampung Jaya Gading di sini semalam.
- BERNAMA