Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Suami Isteri Ditahan Dadah Bernilai Rm341 000 Dirampas

Diterbitkan: 14 Oct 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Sepasang suami isteri dipercayai baru berjinak dalam pengedaran dadah ditahan selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM341,000 di sebuah rumah di Taman Tunku di sini, petang semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/suami-isteri-ditahan-dadah-bernilai-rm341-000-dirampas
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 12:08 MYT

Miri, 14 Okt - Sepasang suami isteri dipercayai baru berjinak dalam pengedaran dadah ditahan selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM341,000 di sebuah rumah di Taman Tunku di sini, petang semalam.

Ketua Polis Miri ACP Junaidi Bujang berkata pasangan tersebut yang berumur awal 30-an ditangkap polis dalam serbuan 3.30 petang semalam dan hasil pemeriksaan ujian air kencing suspek lelaki didapati positif dadah.

"Dalam serbuan itu polis menjumpai dadah jenis ketamin seberat 3.9kg, 928 biji pil erimin, 47 pil ekstasi dan syabu seberat 18 gram," katanya dalam sidang media hari ini.

Junaidi berkata serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuching dan Miri itu menemukan dadah yang disembunyikan di dalam peti besi dan bantal.

"Kedua-dua pasangan tersebut adalah rakyat tempatan dan penganggur," katanya sambil menambah hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek baru mencuba nasib dalam kegiatan tersebut.

"Kami sedang menyiasat dari mana pasangan ini mendapat bekalan dadah tersebut dan di mana ia hendak dijual," katanya.

Dalam perkembangan lain, Junaidi menafikan laporan sebuah akhbar sebelum ini yang mendakwa insiden pergaduhan yang berlaku di sebuah kedai kopi di Taman Bumiko pada 6.30 petang Ahad lepas, ada kaitan dengan gangsterisme.

"Laporan akhbar itu tidak betul dan tiada kaitan gangsterisme kerana motif sebenar pergaduhan adalah salah faham yang berlarutan sehingga rakan yang tidak berada di tempat kejadian turut sama terlibat dalam pergaduhan tersebut untuk membantu kawan mereka," katanya.

Beliau berkata dakwaan akhbar itu bahawa lebih 20 orang terbabit dalam pergaduhan tersebut tidak benar, kerana ia hanya membabitkan beberapa orang sahaja.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 14 Oct 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM