Kuala Lumpur, 3 Nov - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) berjaya membongkar satu lagi sindiket pengedaran dadah yang aktif memproses dan membekalkan dadah.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Dato' Haris Wong Abdullah dalam sidang media hari ini berkata, seramai 16 orang berumur antara 18 hingga 50 tahun berjaya diberkas dalam 10 serbuan di sekitar Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur.
Hasil serbuan berjaya merampas dadah dianggarkan bernilai RM28 juta serta membongkar sebuah makmal pemprosesan dadah.
Turut dirampas peralatan memproses dadah, sejumlah wang tunai, jam tangan serta sepuluh buah kenderaan pelbagai jenis milik suspek.
Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.