Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Selangor Bongkar Taktik Baru Penjenayah Amerika Latin Sembunyi Barang Kemas Curi

Diterbitkan: 03 Nov 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis Selangor membongkar taktik baru sindiket mencuri barang kemas dengan menyembunyikannya di sebalik jahitan baju dan pinggang seluar, selepas menahan tiga lelaki warga Amerika Latin.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-selangor-bongkar-taktik-baru-penjenayah-amerika-latin-sembunyi-barang-kemas-curi
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 06:35 MYT

Shah Alam, 3 Nov - Polis Selangor membongkar taktik baru sindiket mencuri barang kemas dengan menyembunyikannya di sebalik jahitan baju dan pinggang seluar, selepas menahan tiga lelaki warga Amerika Latin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Dato' Mohd Adnan Abdullah berkata, taktik itu dikesan ketika polis menahan ketiga-tiga suspek berumur antara 29 dan 47 tahun di sebuah kondominium mewah di Lembah Klang kira-kira 10 malam tadi.

"Pemeriksaan di unit mereka menemukan sebahagian barang kemas yang dicuri termasuk rantai yang disembunyikan di sebalik jahitan lipatan baju dan pinggang seluar untuk dihantar ke negara asal menggunakan perkhidmatan kurier," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas sepucuk pistol tiruan, peralatan pecah rumah, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah alat penimbang emas, buku lima serta perkakas khas yang berupaya mematikan kamera litar tertutup (CCTV) rumah mangsa.

Mohd Adnan berkata, suspek terdiri daripada dua warga Colombia dan seorang Mexico dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lepas dengan menyasarkan kawasan perumahan elit.

Katanya, suspek menyasarkan rumah ditinggalkan pemilik yang keluar bekerja atau bercuti dan mematikan CCTV sebelum memecah masuk.

Mohd Adnan berkata, berikutan tertangkapnya tiga suspek berkenaan, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes pecah rumah melibatkan ratusan ribu ringgit di sekitar Lembah Klang terutama di Petaling Jaya.

"Siasatan lanjut mendapati seorang suspek tidak memiliki pasport, seorang lagi pasport sudah tamat tempoh manakala satu lagi memiliki pasport yang sah sehingga 22 Nov ini.

"Kami juga akan menghubungi Jabatan Imigresen untuk mengetahui kekerapan suspek keluar dan masuk negara ini selain bekerjasama dengan Interpol bagi menyemak rekod jenayah suspek," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan lanjut.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 03 Nov 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM