Sms Tipu Polis Tahan 26 Individu
KUALA LUMPUR 7 Jun 2010 - Polis sekali lagi menumpaskan satu sindiket penipuan menerusi peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memperdaya mangsa dengan menggunakan nama pelbagai syarikat ternama baru-baru ini.
Kejayaan itu diperoleh berikutan penahanan 26 individu termasuk dua wanita dalam dua serbuan di Tawau, Sabah pada minggu lalu.
Semua mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 41 tahun.
Sindiket tersebut dianggotai hampir keseluruhan oleh warga asing, kecuali seorang daripadanya wanita tempatan.
Dalam serbuan sepasukan polis ke atas kedua-dua kediaman di Tawau itu, polis menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk penipuan termasuk empat unit komputer riba, 73 unit telefon bimbit, 77 keping kad SIM dan 41 buah buku catatan.
Turut ditemui, wang tunai berjumlah RM6,000.
Siasatan awal polis mendapati, sindiket itu mampu menghantar sebanyak 4,000 SMS secara rawak setiap hari kepada nombor-nombor pemilik telefon bimbit dengan harapan akan ada yang terjerat dengan perangkap mereka.
Polis percaya segelintir mereka yang ditahan terdiri daripada saki-baki ahli sindiket sama yang pernah ditumpaskan sebelum ini dan kini kembali bergiat aktif.
Sindiket terdahulu, yang ditumpaskan tahun lalu juga berpusat di Tawau.
Kedua-dua sindiket berkenaan dipercayai melakukan sekurang-kurangnya 2,656 kes penipuan yang membabitkan nilai kerugian sebanyak RM6.4 juta sejak 2006 sehingga April tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Dato' Koh Hong Sun berkata, kejayaan terbaru pihaknya itu hasil usaha berterusan polis yang menerima banyak laporan berhubung penipuan melalui SMS.
Menurut beliau, setakat tempoh empat bulan pertama ini sahaja sudah diterima 177 laporan dengan nilai kerugian dilaporkan hampir RM500,000.
"Walapun berkali-kali diberi peringatan, nasihat serta amaran, ternyata masih ramai yang terpedaya dengan skim penipuan ini.
"Kalau anda tidak menyertai sebarang peraduan, bagaimana tiba-tiba boleh memenanginya dan apakah kalau anda memenangi sesuatu, perlukah anda membuat sebarang pembayaran. Itu tidak logik bukan?" jelas Hong Sun pada sidang akhbar di pejabat JSJK di Kompleks Bukit Perdana di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan terhadap 26 suspek dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
"Polis pada masa yang sama sedang mengesan dua individu yang dikenali sebagai Pak Agus dan Acok, dipercayai ada kaitan dengan sindiket ini," kata.