Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan 13 Individu Kes Culik Kanak Di Tanjung Keling

Diterbitkan: 13 Jun 2014 7.26 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Turut dirampas, dua buah kereta jenis Proton Wira, sebilah pedang berserta dua sarung pedang, 11 unit telefon bimbit, seunit pemain cakera padat, komputer riba dan beberapa unit barang kemas dan wang ..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-13-individu-kes-culik-kanak-di-tanjung-keling
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 01:25 MYT

MELAKA 7 Jun 2010 - Seorang anggota tentera adalah antara 13 individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes culik seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di sebuah kawasan perumahan di Tanjung Keling pada 31 Mei lalu.

Anggota yang berusia 27 tahun itu dikatakan bertindak sebagai dalang dalam kes penculikan yang membabitkan tuntutan wang tebusan pada awalnya sebanyak RM1 juta.

Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan antara Rabu dan Sabtu lalu selepas ibu bapa kanak-kanak lelaki itu bersetuju untuk membayar wang tebusan sebanyak RM120,000 bagi membolehkan dia dibebaskan.

Ketua Polis Negeri, Dato' Mohd. Rodwan Mohd. Yusof berkata, kejadian culik itu berlaku ketika mangsa baru pulang dari sekolah di hadapan rumahnya kira-kira pukul 3.30 petang.

Katanya, mangsa dilarikan sekumpulan lima lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira.

"Tiga daripada mereka memakai topeng dan bersenjatakan dua bilah pedang bertindak menarik kanak-kanak itu masuk ke dalam kenderaan.

"Selang beberapa minit kemudian, ibu bapa kanak-kanak tersebut menerima panggilan daripada individu tidak dikenali meminta wang tebusan sebanyak RM1 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Tambahnya, setelah berlaku tawar-menawar, kumpulan penculik itu bersetuju mengurangkan wang tebusan kepada RM120,000.

Mohd. Rodwan memberitahu, bapa mangsa culik yang merupakan ahli perniagaan kemudian telah menyerahkan wang tersebut di Jalan Cheng, kira-kira pukul 1.20 pagi pada Selasa lalu.

Kanak-kanak itu yang tidak dicederakan kemudian dibebaskan di hadapan sebuah sekolah di kawasan Batang Tiga kira-kira pukul 6.05 pagi hari yang sama, katanya.

Tambah beliau, hasil siasatan, pihak polis kemudian menahan 13 suspek, empat daripadanya ditahan di Bahau, Negeri Sembilan manakala sembilan lagi di negeri ini.

"Bagaimanapun, tujuh daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala enam lagi termasuk anggota tentera terbabit masih direman sehingga esok dan 11 Jun ini.

"Hasil siasatan, polis telah menemui wang tunai sebanyak RM48,390 dipercayai lebihan hasil wang tebusan," katanya.

Menurut Mohd. Rodwan, turut dirampas, dua buah kereta jenis Proton Wira, sebilah pedang berserta dua sarung pedang, 11 unit telefon bimbit, seunit pemain cakera padat, komputer riba dan beberapa unit barang kemas.

Katanya, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan jika sabit kesalahan.

ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 7.26 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM