Sinergi Pdrm Ukm Pertingkat Profesionalisme Pasukan
"....pengalaman kumulatif selama 247 tahun kedua-dua institusi ini tentulah akan menghasilkan gandingan yang mantap yang mampu memberi mutu pembelajaran dan pelajaran yang tertinggi kepada pegawai-pegawai polis dan tenaga profesional universiti.." - YDH Ketua Polis Negara
Bukit Aman, 12 Jan - "Pertukaran idea dan pengalaman di antara polis dan tenaga pengajar akan memberi cambahan-cambahan baru dalam pengetahuan dan kemahiran pegawai polis supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berkesan," ujar YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Sesi 2011/2012, di Mes Pegawai Kanan PDRM, Bukit Aman, hari ini.
Beliau sebelumnya berkata, program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) ini adalah satu kerjasama berterusan dalam bidang pendidikan serta latihan untuk membantu pegawai-pegawai kanan PDRM meningkatkan tahap ilmu pengetahuan bagi meneruskan kesinambungan dan relevansi pegawai polis dalam konteks persekitaran tugas yang semakin mencabar.
Bertepatan dengan Misi & Visi PDRM, proses pembelajaran secara formal ini kelak akan berupaya membantu PDRM untuk melahirkan lebih ramai warga yang berilmu pengetahuan, selari dengan keperluan masa kini.
Perancangan Di Masa Hadapan
"Beberapa tahun daripada sekarang, PDRM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan berbincang mengenai kesefahaman dalam mewujudkan Program Ijazah Doktor Falsafah di bidang Sains Sosial - dengan pengkhususan dalam pengajian kepolisan," ujarnya lagi.
Manifestasi Kepada Seruan 3C YAB Perdana Menteri
Kerjasama ini merupakan satu manifestasi kepada seruan YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia supaya sektor awam meningkatkan prestasi dan produktiviti organisasi melalui pendekatan Collaboration, Communication dan Creativity atau 3C.
Tambahnya lagi, pemantapan 3C di semua peringkat pentadbiran dan operasi sesebuah agensi akan membolehkan PDRM berada di landasan yang betul untuk merealisasikan gagasan Wawasan 2020 sebagai negara maju sepenuhnya.
Hubungan kerjasama di antara UKM dan PDRM bukanlah asing lagi kerana ia terjalin melalui kerjasama dalam penganjuran program-program pengajian seperti program Diploma Sains Kepolisan sejak tahun 1984 lagi dan program di peringkat sarjana ini juga merupakan kesinambungan kepada program Diploma Sains Kepolisan tersebut.
Program Sarjana Sains Sosial telah pun bermula pada 26 Jun 2004, iaitu dengan pengambilan graduan pertama seramai 13 Pegawai Kanan Polis yang berpangkat Superintenden ke Asisten Komisioner Polis.
Pada sesi kali ini, seramai 22 Pegawai Kanan PDRM dan 3 pegawai dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikuti program ini dengan tempoh masa selama 18 bulan dan telahpun bermula sejak 16 Disember 2011 serta dijangka berakhir pada Jun 2013.
Hadir sama pada hari ini, Y.Bhg Prof. Tan Sri Dato' Wira Dr. Sharifah Hapsah binti Syed Hasan Shahbudin, Naib Canselor UKM, YDH CP Dato' Mortadza bin Nazarene, Pengarah Pengurusan PDRM, Pengarah-pengarah PDRM, Y.Bhg Prof. Dr. Hazita binti Azman, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Pegawai-pegawai Kanan UKM, Pegawai-pegawai Kanan PDRM dan wakil-wakil media.

YDH Ketua Polis Negara dan Pengarah-pengarah yang hadir.

Wakil dari UKM.

Antara Timbalan Pengarah yang turut hadir.

YDH Ketua Polis Negara dan Y.Bhg Prof. Tan Sri Dato' Wira Dr. Sharifah Hapsah binti Syed Hasan Shahbudin, Naib Canselor UKM menandatangani MoU

YDH Ketua Polis Negara dan Y.Bhg Naib Canselor UKM bertukar dokumen.

Y.Bhg Prof. Tan Sri Dato' Wira Dr. Sharifah Hapsah binti Syed Hasan Shahbudin, Naib Canselor UKM memberikan ucapan.

YDH Ketua Polis Negara memberi ucapan balas.

YDH Ketua Polis Negara menerima cendehati daripada Y.bhg Naib Canselor UKM

Y.Bhg Naib Canselor UKM menerima cenderahati daripada YDH Ketua Polis Negara.

Bergambar kenangan...
Jurufoto : L/Kpl Shareel
Wartawan : L/Kpl Irfan Bujang
Penyunting : Inps. Md. Aruwan bin Amilah