Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Sindiket Proses Edar Dadah Tumpas

Published: 13 Jun 2014 7.36 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
JOHOR BAHRU 15 Jun - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah dengan penahanan 15 individu dan rampasan najis dadah itu bernilai RM3.7 juta dalam tujuh serbuan di sini pada..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/sindiket-proses-edar-dadah-tumpas
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 26/09/2026 02:35 MYT

JOHOR BAHRU 15 Jun - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah dengan penahanan 15 individu dan rampasan najis dadah itu bernilai RM3.7 juta dalam tujuh serbuan di sini pada Khamis dan Jumaat lalu.

YDH Ketua Polis Negeri, Dato' Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, serbuan dilakukan di tujuh lokasi berbeza iaitu di Hentian Rehat Pagoh, Muar, Taman Seri Austin Perdana; Seri Alam; Taman Megah Ria, Masai dan Taman Molek di sini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita tempatan serta dua wanita warga Myanmar berusia antara 16 hingga 51 tahun.

"Daripada lokasi yang diserbu, salah satu merupakan makmal untuk memproses dadah dan selebihnya dijadikan stor simpanan.

"Kita percaya sindiket itu sudah beroperasi lebih setahun dan bergiat aktif membekalkan dadah ke Thailand, Batam, Singapura, Lembah Klang dan sekitar Johor Bahru.

"Dipercayai juga bahan-bahan untuk membuat dadah itu diperoleh dari luar negara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Katanya, dadah yang dirampas adalah jenis ketamin seberat 5,052 gram, syabu (454 gram), pil ekstasi (17,451 biji), serbuk ekstasi (9,025 gram), eramin 5 (17,260 biji) dan kafein (4,260 gram) bernilai RM2.3 juta.

Katanya lagi, pihak polis turut merampas lapan buah kereta pelbagai jenis, dua komputer riba, barang kemas dan barangan lain bernilai RM1.4 juta serta wang tunai berjumlah RM160,000.

YDH Dato' Mohd. Mokhtar berkata, berdasarkan ujian saringan yang dilakukan ke atas semua suspek, dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, enam suspek yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kesalahan termasuk pengedaran dadah dan kesemua mereka kini ditahan reman sehingga 18 Jun ini bagi membantu siasatan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan Seksyen 32 ADB (perlucutan harta) 1988," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sepanjang tempoh Januari hingga 13 Jun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya membuat sejumlah 4,380 tangkapan dan merampas dadah bernilai RM4.5 juta.

ArticlePublished 13 Jun 2014 7.36 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM