Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Sindiket Edar Dadah Tumpas

Published: 16 Jun 2014 12.53 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
BATU PAHAT 16 Ogos – Polis Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa setelah merampas 824,500 biji dadah Eramin 5 bernilai RM12.37 juta di Ayer Hitam dekat sini dan Johor Bahru, ba..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/sindiket-edar-dadah-tumpas
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 26/09/2026 01:22 MYT

BATU PAHAT 16 Ogos – Polis Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa setelah merampas 824,500 biji dadah Eramin 5 bernilai RM12.37 juta di Ayer Hitam dekat sini dan Johor Bahru, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin berkata, dalam serbuan yang dilakukan Khamis lalu, polis turut menahan 17 individu termasuk lapan warga asing yang terlibat dalam sindiket itu.

Menurut beliau, sebahagian daripada pil Eramin 5 itu ditemui disorok dalam 60 patung peragaan pakaian di sebuah stor premis di Ayer Hitam.

Sebahagian lagi dadah itu dirampas dalam serbuan di dua rumah di Johor Bahru.

Zul Hasnan berkata, kejayaan itu adalah rampasan terbesar pil Eramin 5 di negara ini untuk tahun ini.

“Dalam serbuan pukul 1 petang di stor pakaian di Ayer Hitam, polis menahan 17 ahli sindiket dadah itu yang didalangi warga asing.

“Mereka yang ditahan berusia antara 28 hingga 74 tahun terdiri daripada sembilan rakyat tempatan, Taiwan (4), Singapura (3) dan seorang warga Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Zul Hasnan berkata, tiga daripada mereka adalah wanita iaitu dua warga Taiwan dan seorang wanita tempatan.

Menurut beliau, hasil serbuan di stor pakaian itu, polis menemui 15 kotak yang setiap satu mengandungi empat patung peragaan pakaian.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui sejumlah 529,500 biji pil Eramin 5 yang disorokkan dalam patung itu.

Susulan daripada kejayaan itu, kata beliau, polis kemudian menyerbu dua buah rumah di Johor Bahru dan menemui 295,000 biji pil Eramin 5, 15 kilogram ketamin dan 890 biji pil ‘dormicum’.

“Kita juga menyita lima kenderaan yang digunakan sindiket itu selain merampas mata wang pelbagai negara iaitu Malaysia, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, Kemboja, Hong Kong, China, Singapura dan Taiwan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyatakan, pihak polis masih menyiasat bagaimana dadah itu dibawa masuk ke negara ini.

Beliau juga enggan mengulas sama ada sindiket itu beroperasi di bawah syarikat berasaskan perniagaan tekstil untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurut beliau, kejayaan rampasan itu hasil risikan selama lebih setahun Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan mendapat kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Dadah Taiwan.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti ahli-ahli sindiket yang lain dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, daerah ini bukan menjadi pusat pengedaran dadah sebaliknya hanya dijadikan transit untuk aktiviti jenayah itu.

ArticlePublished 16 Jun 2014 12.53 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM