Sindiket Black Money Polis Tahan Tiga Warga Asing
Kuala
Lumpur, 2 Jan - Kegiatan licik tiga warga asing dalam sindiket 'black
money' tumpas selepas ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah
Komersial (JSJK) Cheras di sebuah pangsapuri servis di Jalan Ampang, di
sini, 26 Dis lepas.
Ketua
JSJK Kuala Lumpur ACP Izany Abd Ghani berkata susulan tangkapan itu,
polis merampas lapan peti besi dan lima beg yang mengandungi 5,373
keping mata wang palsu US$ 100 (anggaran RM1.7 juta) dan 831 keping
RM100, serta 34 ketulan mampat kertas hitam dipercayai US$100 palsu.
Beliau
berkata polis turut merampas bahan kimia iaitu empat bungkus serbuk
berwarna putih dan satu berwarna kuning, tujuh botol plastik dan 10
botol kaca mengandungi cecair, dipercayai digunakan untuk mencuci wang
palsu.
"Dalam
kejadian pada 26 Dis lepas, dua daripada tiga lelaki dipercayai warga
China dan seorang Singapura berumur 45 hingga 54 tahun itu telah
bergaduh dalam keadaan mabuk di pangsapuri berkenaan.
"Hasil
siasatan mendapati punca mereka bergaduh adalah disebabkan masalah
hutang pelaburan mata wang asing dan polis juga menjumpai barang-barang
yang disyaki digunakan dalam sindiket berkenaan di premis itu," katanya
dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.
Kata
Izany, premis itu dipercayai dijadikan sebagai transit untuk menyimpan
wang palsu sebelum digunakan untuk penipuan oleh sindiket terbabit.
"Mereka telah menyewa premis itu sejak dua tahun lepas dan mula memasuki negara ini pada tahun 2011 menggunakan visa pelancong.
"Kami
tidak menolak kemungkinan mereka juga turut terlibat dalam kes penipuan
'black money' bersama warga Afrika di sekitar Lembah Klang," katanya.
Beliau
menambah, suspek ditahan reman sehingga 15 Jan dan kes disiasat
mengikut Seksyen 489 (C) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10
tahun, jika sabit kesalahan.
Izany turut menggesa orang ramai yang terperdaya dengan sindiket itu membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Sumber : BERNAMA