Geng Pecah Rumah Dan Samun Di Sekitar Ipoh Ditahan
Ipoh,
3 Jan - Polis menyelesaikan sembilan kes pecah rumah dan samun di
sekitar Ipoh berikutan penangkapan dua lelaki di Jalan Pengkalan Barat
18, Taman Shatin di sini semalam.
Ketua
Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata suspek masing-masing
berumur 31 dan 48 tahun dari Pasir Puteh di sini ditahan ketika cuba
memecah masuk sebuah rumah di kawasan itu pada 3.25 pagi.
Beliau
berkata Unit Rondaan Bermotosikal Polis bergegas ke tempat kejadian
selepas menerima maklumat dan mendapati dua lelaki sedang mengumpil
pintu rumah yang mempunyai penghuni.
"Terkejut
dengan kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri namun berjaya
ditangkap," katanya kepada pemberita di Balai Polis Bercham di sini hari
ini.
Dalam
kejadian itu polis merampas sebuah motosikal jenis Yamaha milik seorang
daripada suspek, kunci motosikal, pemutar skru serta spanar pembuka
tayar, katanya.
Beliau
berkata suspek berumur 31 tahun mempunyai enam rekod lampau termasuk
kes berkaitan dadah dan dikehendaki polis bersangkut kejadian samun di
Bercham tahun lepas manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai
sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya
kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu bergerak aktif
melakukan jenayah pecah rumah dan samun sejak enam bulan lepas.
Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini.
Sumber : BERNAMA