Sidang Media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Bukit Aman - 9 Jun 2010. Pada pagi ini, bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Siasatan Jenayah di Menara 2, Bukit Aman, YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin telah mengadakan Sidang Media berhubung dengan kegiatan Judi Bola Sepak Piala Dunia.
Turut hadir di Sidang Media tersebut ialah YDH SAC Dato' Hasnan bin Hassan, Ketua Penolong Pengarah (D7) dan Superintenden Maszley bin Minhad, Supt Unit Pencegahan (D7).
Jabatan Siasatan Jenayah PDRM telah menubuhkan unit pengempur untuk bertindak terhadap sindiket yang mencari peluang dan bergiat aktif dalam judi bola sepak Piala Dunia yang akan bermula pada 11 Jun 2010.
Bagi membanteras perjudian semasa Piala Dunia yang bermula di Afrika Selatan pada Jumaat ini, unit pengempur itu telah melancarkan operasi dikenali sebagai Ops Soga (soccer games) di semua negeri sejak sebulan lepas.
Unit Gempur ditubuhkan di seluruh negara, diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (D7) sementara diperingkat kontinjen dan daerah pula akan diketuai oleh Pegawai Turus (D7).
Sehingga kini, 4 sindiket telah dikenalpasti dan sedang dipantau oleh Unit Gempur JSJ yang didapati bergiat secara aktif dalam perjudian Bola Sepak Piala Dunia melalui internet.
Sindiket ini ada kemungkinan mempunyai hubungan dengan sindiket antarabangsa yang berpengetahuan luas dalam bidang teknologi dan internet dimana pertaruhan yang terlibat boleh mencecah sehingga RM 1 bilion.
Katanya, sindiket itu dipercayai turut mengambil pelajar-pelajar lepasan jurusan IT dengan memberi bayaran lumayan bagi menjalankan aktiviti itu dan sindiket itu turut menggunakan kafe siber sebagai tempat pertaruhan.
Sindiket itu juga dipercayai bersekongkol dengan Ah Long bagi memberi pinjaman kepada mereka yang ingin berjudi.
"Amaran saya kepada sindiket-sindiket ini, polis akan terus mengesan kegiatan haram mereka habis-habisan," kata Mohd Bakri.
Akta Pengubahan Wang Haram akan digunakan untuk menyita harta dan undang-undang pencegahan akan diambil kepada sindiket yang melindungi aktiviti-aktiviti haram ini.
Sepanjang Januari hingga Mei 2010, Jabatan Siasatan Jenayah telah mengadakan sebanyak 6,004 serbuan dalam Ops Dadu bagi tujuan membanteras kegiatan perjudian, menunjukkan peningkatan 156% berbanding tahun 2009, dimana sebanyak 2,345 serbuan dijalankan.
Perbandingan Statistik Ops Dadu bagi tahun 2009 dan 2010.
| Jan - Mei 2009 | Jan - Mei 2010 | |
| Serbuan | 2345 | 6004 |
| Tangkapan | 2454 | 3384 |
| Rampasan Komputer | 18748 | 28221 |

YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bersama YDH SAC Dato' Hasnan bin Hassan, Ketua Penolong Pengarah (D7) dan Superintenden Maszley bin Minhad, Supt Unit Pencegahan (D7) semasa Sidang Media di Menara 2, Bukit Aman.