Sidang Media Ops Sikap Xxii 2010 Oleh Ydh Ketua Trafik Pasukan
Bukit Aman - 18 September 2010. YDH SAC Dato' Abdul Aziz bin Yusof, Ketua Trafik Pasukan (KTP) telah mengadakan Sidang Media di Bilik Gerakan, Cawangan Trafik Bukit Aman pada jam 12.15 tengahari.
Ops Sikap XXII 2010 yang bermula pada 3 September 2010 telah berakhir semalam 17 September 2010 dengan memperlihatkan jumlah kenderaan yang menggunakan jalinan jalan raya dan lebuh raya seluruh negara dianggarkan sebanyak 9.5 juta atau 49.9% daripada jumlah 19,016,782 kenderaan berdaftar seluruh negara. Namun, Pemantauan Trafik PDRM akan diteruskan untuk tempoh sehingga hujung minggu ini (18/9/2010 - 20/9/2010) kerana dijangkakan kebanyakan jalan raya dan lebuh raya akan mengalami kesesakan lalu lintas dari Utara, Timur dan Selatan menuju ke Bandaraya Kuala Lumpur.
Pelaksanaan Ops Sikap XXII 2010 adalah bertujuan mengawal dan mengurangkan kadar kemalangan pada musim perayaan, menimbulkan perasaan selamat serta meningkatkan keselesaan pengguna selain membantu penugasan pencegahan jenayah secara keseluruhan. Selain itu, objektif Omnipresence adalah bagi meningkatkan Perception of Being Caught (POBC) di kalangan pengguna jalan raya melalui rondaan statik dan pemantauan udara oleh Unit Udara PDRM.
Secara keseluruhan, Ops Sikap XXII 2010 menunjukkan tren penurunan dari segi kemalangan jalan raya, kemalangan maut dan juga kematian. Dengan peningkatan anggaran kenderaan mencapai sehingga lebih 5 juta dalam sehari (dalam tempoh puncak Ops Sikap XXII - 8/9/2010 hingga 12/9/2010), kadar kemalangan berada dalam nisbah yang lebih rendah daripada purata kemalangan harian di luar tempoh Ops Sikap. Selain itu, tempoh cuti sekolah yang berlangsung semasa Ops Sikap XXII 2010 kali ini turut menyumbang kepada penurunan kemalangan keseluruhan disebabkan warga kota telah merancang perjalanan dan secara tidak langsung mengurangkan kesesakan lalu lintas berbanding Ops Sikap yang lalu.
Sepanjang tempoh 15 hari Ops Sikap XXII 2010 berlangsung, penunggang dan pembonceng motorsikal mencatat jumlah kematian tertinggi dengan peratusan sebanyak 57.66% atau 143 kematian diikuti pemandu dan penumpang motokar dengan 28.22% atau 70 kematian. Secara keseluruhan, jumlah kematian yang dicatatkan sepanjang operasi berlangsung adalah sebanyak 248 kematian termasuk melibatkan kenderaan lain seperti teksi, van, lori, basikal dan lain - lain.
Jumlah kemalangan keseluruhan yang dicatatkan dalam Ops Sikap XXII adalah sebanyak 16,657 berbanding 17,332 dalam Ops Sikap XX yang menunjukkan penurunan sebanyak 675 kes atau 3.9%. Namun, terdapat peningkatan jumlah saman yang dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan lalu lintas iaitu sebanyak 10% atau 144,000 saman.
Ops Sikap XXII 2010 yang melibatkan anggota trafik, kereta peronda (MPV), anggota Tugas Am, juga dibantu kekerapan oleh Unit Udara PDRM turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKJR), PLUS, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Bomba dan Penyelamat, JPAM dan RELA bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselesaan pengguna jalan raya sepanjang tempoh perayaan.
"Tiada Istilah Saman Ekor", kata KTP
YDH Ketua Trafik Pasukan turut mengulas pertanyaan wartawan mengenai saman ekor dengan memaklumkan tidak wujud istilah saman ekor dan ianya tidak tepat bagi menyatakan saman yang dikeluarkan melalui penggunaan kamera. Beliau turut memaklumkan dua jenis saman yang dikeluarkan oleh polis adalah saman yang dikeluarkan serta merta (tahan dan serah saman) dan saman postal iaitu bagi kesalahan yang dikesan melalui kamera dan saman tersebut diserahkan kepada pesalah melalui pos.
Pesanan YDH Ketua Trafik Pasukan
Sebelum mengakhiri Sidang Media XXII 2010, YDH Ketua Trafik Pasukan menyampaikan pesanan supaya pengguna jalan raya :-
- Merancang perjalanan agar tidak terlibat dalam kesesakan dan kemalangan yang boleh menyumbang kepada kemalangan maut.
- Mematuhi segala peraturan lalu lintas dan elak dari memandu dan menunggang kenderaan secara tidak berhati-hati.
- Mengubah sikap dengan menjadi pemandu yang bijak, berhemah dan cermat kerana ianya mampu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
- Pandu cermat dan selamat sampai ke destinasi.
Sidang Media Ops Sikap XXII 2010 oleh Ketua Trafik Pasukan, YDH SAC Dato' Abdul Aziz bin Yusof.