Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Sidang Akhbar Polis Tumpas Sindiket Pengedaran Dadah Antarabangsa

Published: 10 Jun 2014 1.44 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa jenis Methamphetamine (Syabu) oleh warganegara asing dengan tertangkapnya 5 lelaki warga Iran..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/sidang-akhbar-polis-tumpas-sindiket-pengedaran-dadah-antarabangsa
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 18:52 MYT

Bukit Aman - 6 Januari 2010. Pada 3 Januari 2010, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa jenis Methamphetamine (Syabu) oleh warganegara asing dengan tertangkapnya 5 lelaki warga Iran dengan rampasan pakaian anggaran berat 10 kg yang telah diserap dengan cecair Methamphetamine (Syabu).

Tangkapan pertama bermula lebih kurang jam 5.15 petang ke atas 1 lelaki Iran bersama dua buah beg pakaian di sebuah pangsapuri di Jalan Hang Isap, Kuala Lumpur. hasil pemeriksaan beg, polis telah  menjumpai dan merampas 2 helai tuala, 2 helai baju dan 3 helai seluar, anggaran berat 10 kg yang telah diserap cecair Methamphetamine (Syabu).

Tindakan susulan pada hari yang sama jam lebih kurang 6.15 petang, 4 orang lagi lelaki warga Iran telah ditangkap di kawasan lobi sebuah pusat membeli belah di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kesemua ahli sindiket yang berumur di antara 23 hingga 42 tahun itu telah ditahan reman sehingga 10 Januari 2010 untuk penyiasatan di bawah Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Adalah dipercayai sindiket yang dianggotai oleh warga Iran ini telah menyeludup masuk membawa bekalan dadah itu melalui Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu juga, dalam kenyataan akhbar oleh YDH CP Dato' Zulhasnan Najib bin Baharudin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, beliau menyatakan, sepanjang tahun 2009, JSJN telah berjaya menahan 125,161 orang yang terlibat dalam pelbagai kesalahan narkotik berbanding 105,618 orang pada tahun 2008, peningkatan sebanyak 18.5%.

Hasil tangkapan ini, JSJN berjaya meningkatkan pencapaian pembanterasan melalui penguatkuasaan undang-undang ke arah pengurangan bekalan dadah sebanyak 13% dan penguatkuasaan undang-undang kearah pengurangan permintaan dadah sebanyak 18.9%.

YDH Dato' Zulhasnan juga berkata, daripada risikan dan operasi yang dijalankan, didapati dalam 100,000 orang di Malaysia, seramai 49 orang terlibat dengan kesalahan narkotik.

Sementara itu, nilai rampasan dadah pada tahun 2009 meningkat sebanyak 48.9% iaitu RM388.37 juta berbanding RM260.87 juta pada tahun 2008.

Hasil daripada maklumat risikan dan operasi yang dijalankan, JSJN juga telah berjaya menumpaskan 35 sindiket pengedaran dadah yang mana 16 daripadanya adalah sindiket pengedaran dadah antarabangsa warganegara Afrika, Iran, India, Pakistan, Taiwan dan China. Operasi berkesan yang dijalankan menyebabkan sindiket mula menukar modus operandi penyeludupan dadah ke dalam negara daripada kurier kepada perkhidmatan pos seperti Fedex, DHL dan lain-lain.

Tahun 2009 juga mencatatkan sejarah kejayaan nilai sitaan JSJN tertinggi sepanjang akta ini dikuatkuasakan iaitu sebanyak RM70.33 juta berbanding RM38.25 juta pada tahun 2008.

Selain itu seramai 1,320 orang telah diambil tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 berbanding 1,200 orang pada tahun 2008. Hasil daripada risikan dan operasi yang dijalankan dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini, JSJN telah berjaya membanteras kewujudan makmal memproses dadah haram dari terus meningkat denga pembongkaran 11 makmal dadah haram pada tahun 2009, 12 pada tahun 2008 dan 9 pada tahun 2007. JSJN juga telah berjaya membanteras masalah keldai dadah (drug mule) dimana seramai 41 orang telah terlibat pada tahun 2009 berbanding 51 orang pada tahun 2008, penurunan sebanyak 19.6%.

Dalam memerangi masalah dadah, JSJN turut menjalinkan kerjasama antarabangsa dengan 25 agensi-agensi penguatkuasaan negara asing dalam bertukar maklumat risikan.  Hasil dari usahasama ini, sebanyak 22 operasi telah dijalankan sepanjang tahun 2009 dengan 102 orang telah ditahan di atas pelbagai kesalahan narkotik. Hasil opeasi ini, JSJN telah berjaya merampas sejumlah 858.5 kg serbuk Erimin-5, 435 kg serbuk ecstacy, 33.36 kg syabu dan 18.9 kg kokain yang bernilai RM141.69 juta.

Sidang Akhbar Polis Tumpas Sindiket Pengedaran Dadah Antarabangsa
YDH CP Dato' Zulhasnan Najib bin Baharudin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, melihat beg yang digunakan untuk membawa pakaian yang diserap dengan cecair Methamphetamine (Syabu).

Sidang Akhbar Polis Tumpas Sindiket Pengedaran Dadah Antarabangsa
YDH CP Dato' Zulhasnan memegang tuala sambil disaksikan oleh YDH DCP Dato' Othman bin Harun, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Sidang Akhbar Polis Tumpas Sindiket Pengedaran Dadah Antarabangsa
Pegawai Penyiasat, Insp Nurul Akma Kamaludin menunjukkan baju yang telah diserap dengan cecair Methamphetamine (Syabu).

ArticlePublished 10 Jun 2014 1.44 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM