Sesungguhnya Koperal Baharuddin Kehilanganmu Tiada Galang Gantinya
Jempol, 25 November 2020 - Jasad wira negara, mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban akibat cedera parah terkena tembakan penyeludup semasa menjalankan tinjauan dan risikan di kawasan Tembok Sempadan (TS9) Malaysia - Thailand di Padang Besar, Perlis semalam, selamat disemadikan dengan penuh Istiadat Perwira di Tanah Perkuburan Orang Asli, Sungai Sampo, Jempol, Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mendiang yang bertugas sebagai Koperal Komunikasi (Operasi), Seksyen 3, Platun 1 Kompeni A, Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah ditembak di bahagian dada dan perut ketika berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup yang cuba menyeludup keluar beberapa guni daun ketum dipercayai untuk pasaran di negara jiran.
Insiden sama turut mengakibatkan seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari dihujani tembakan musuh dan tiga butir peluru menembusi badannya. Walau bagaimanapun, keadaan Koperal Norihan dilaporkan stabil dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
Dalam suasana penuh hiba dan pilu, jasad mendiang Koperal Baharuddin telah diarak dari rumah bapanya ke dalam kenderaan dengan penuh istiadat kepolisan sambil disaksikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid Bador yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir dan menzahirkan ucapan penghargaan serta terima kasih buat keluarga mendiang.
Seusai penghormatan terakhir disempurnakan, keranda yang membawa jasad mendiang dibawa ke kawasan pengebumian oleh pengusung yang terdiri daripada Pegawai Pangkat Rendah Polis untuk disemadikan.
Kemuncak upacara menyaksikan penyerahan bendera Jalur Gemilang oleh Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid kepada isteri mendiang, Relow Ko sebagai simbolik penghargaan tertinggi daripada Polis Diraja Malaysia.
Selain balu, mendiang turut meninggalkan tiga orang anak berusia antara 18 hingga 32 tahun.
Turut hadir dalam upacara tadi adalah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Abd Rahim Jaafar, Ketua Polis (KP) Negeri Sembilan, DCP Dato' Mohamad Mat Yusop, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Ramli Mohamed Yoosuf, Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), DCP Dato’ Kasuahdi Ali, Pengerusi Koperasi PDRM, Dato' Seri Ayub Yaakob serta warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dan PGA.
Mendiang Koperal Baharuddin yang berasal dari suku kaum Semelai mula berkhidmat di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyertai Senoi Praaq ketika berusia 19 tahun.
Menurut rakan seperjuangannya, mendiang merupakan seorang anggota polis yang sangat berani, komited dan berintegriti tinggi ketika menjalankan tugas.
Selain itu, pengalaman mendiang selama lebih 35 tahun di dalam Pasukan dan pernah menjalani kursus 69 Komando (VAT69) amat membanggakan seluruh ahli keluarganya.
Mendiang juga beberapa kali menerima surat penghargaan daripada pucuk pimpinan PDRM atas khidmat cemerlang yang dipamerkan sepanjang menjalankan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Hal tersebut membuktikan bahawa pemilihan mendiang di dalam Pasukan adalah tepat dan seiring dengan kehandalan, ketangkasan serta kecekapan orang asal mengenai selok-belok hutan dalam menjejaki musuh.
Bersemadilah wahai wira negara. Sesungguhnya jasa baktimu hingga ke titisan darah terakhir tiada galang gantinya di dunia ini.
Pengorbananmu pasti akan kami kenang buat selama-lamanya.

Jasad mendiang Koperal Baharuddin Ramli dibawa ke kawasan pengebumian oleh pengusung yang terdiri daripada Pegawai Pangkat Rendah Polis.

Potret jasad wira negara, mendiang Koperal Baharuddin Ramli.

Jasad wira negara, mendiang Koperal Baharuddin Ramli diarak dengan penuh Istiadat Perwira.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid Bador menzahirkan ucapan penghargaan serta terima kasih buat keluarga mendiang.