Seorang Lelaki Ditahan Dua Lagi Bolos Dalam Serbuan
Kuantan, 28 Mei - Seorang lelaki diberkas polis kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin manakala dua lagi rakannya meloloskan diri dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sri Damai dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata sebelum serbuan pada 4.30 petang itu, intipan dilakukan dan mendapati tiga lelaki mencurigakan berada dalam rumah tersebut.
"Suspek yang terkejut dengan kehadiran anggota polis itu telah bertindak melarikan diri masuk ke dalam hutan berhampiran.
"Bagaimanapun polis berjaya menangkap seorang suspek yang bertindak mencampakkan satu objek ke tanah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas diperiksa polis mendapati objek yang dibuang suspek berusia 27 tahun itu ialah enam paket plastik jernih dipercayai dadah jenis heroin.
Abdul Aziz berkata semakan awal juga mendapati suspek terbabit yang positif dadah itu turut dikehendaki polis bersabit laporan polis mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Penagihan Dadah dan juga memiliki empat rekod jenayah lampau.
"Polis kini giat memburu dua rakannya dikenali sebagai 'Jimy' dan 'Ateh' yang berjaya meloloskan diri dalam serbuan itu," katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, dua lagi lelaki dipercayai penagih dadah berusia 34 dan 50 tahun turut ditahan pada 3 petang semalam semasa anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Masjid Jaya Gading di sini.
"Hasil pemeriksaan mendapati keduanya positif dadah dan memiliki rekod jenayah lampau," katanya.
- BERNAMA