Senjata Api Dan Peluru Dalam Mpv Polis Dilarikan Suspek Curi
Bukit
Mertajam, 11 Julai - Semua barangan dan kelengkapan termasuk senjata
api MP5 dan peluru dalam kereta peronda polis jenis MPV yang dilarikan
seorang lelaki dalam kejadian di Perak pagi semalam ditemui semula di
Bukit Minyak di sini malam tadi.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata polis
percaya suspek curi berusia 32 tahun itu tidak mengambil barangan dalam
MPV berkenaan kerana hendak cepat melarikan diri.
Katanya
MPV itu ditemui di lorong belakang rumah kedai di Taman Sri Mangga di
sini hasil maklumat orang awam yang curiga dengan kehadiran MPV itu
lebih 10 jam tanpa kehadiran anggota peronda polis.
Pemeriksaan
mendapati semua barangan dan kelengkapan dalam MPV itu termasuk senjata
api dan peluru masih berada di dalam kenderaan berkenaan, katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Mazlan berkata polis turut menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek yang berasal Tasek Gelugor.
Ketua
Polis Daerah Taiping ACP Mohd Yusof dilaporkan berkata dalam kejadian
kira-kira 7.40 pagi semalam, ketika hendak dibawa masuk ke dalam MPV
berkenaan, lelaki itu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes
curi telah menolak anggota polis yang bertugas sebelum melarikan MPV
itu.
Sumber : BERNAMA