Polis Pahang Tahan Enam Suspek Pengedar Dadah Rampas 260 15
Temerloh,
11 Julai - Polis menahan enam orang disyaki pengedar dadah dan merampas
dadah jenis heroin seberat 260.15 gram bernilai RM15,000 di sebuah
rumah di Taman Bukit Bendera, Mentakab dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh Pemangku ACP Abdul Aziz Salleh berkata dalam serbuan pada 4.25 pagi itu, suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berumur antara 23 dan 57 tahun.
"Dalam
serbuan di rumah itu, polis menahan lima suspek termasuk dua wanita dan
merampas 26 paket plastik lut sinar pelbagai saiz yang mengandungi
serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.
"Polis
turut merampas alat penimbang digital, plastik lut sinar, sebilah
gunting dan alat untuk membungkus," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Hasil siasatan, seorang lagi rakan suspek ditahan di rumah berasingan di taman tersebut, pada 2.40 petang.
Abdul
Aziz berkata siasatan awal juga mendapati bekalan dadah diperoleh dari
ibu negara untuk diedarkan di sekitar Temerloh dan Mentakab dengan
menjadikan rumah itu, sebagai tempat membungkus dadah.
Katanya,
hasil ujian air kencing, mendapati kesemua suspek positif dadah dan kes
disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957 yang membawa
hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
"Tiga
daripada suspek lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan
dadah dan tiga daripada mereka berasal dari Kuala Lumpur, Perak dan
Johor," katanya.
Sumber : BERNAMA