Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Senarai Premis Judi Online Berlesen Dihantar Kepada Pbt Untuk Pemantauan Lanjut

Diterbitkan: 13 Nov 2014 7.55 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Shah Alam, 13 Nov - Senarai premis berlesen yang beroperasi sebagai pusat perjudian 'online' haram dihantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat seluruh Selangor untuk pemantauan lanjut, kata Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/senarai-premis-judi-online-berlesen-dihantar-kepada-pbt-untuk-pemantauan-lanjut
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 07:19 MYT
Shah Alam, 13 Nov - Senarai premis berlesen yang beroperasi sebagai pusat perjudian 'online' haram dihantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat seluruh Selangor untuk pemantauan lanjut, kata Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.

Beliau berkata senarai yang dihantar dua minggu lepas itu adalah untuk memastikan mana-mana premis termasuk yang diberi lesen perniagaan tidak lagi menjalankan kegiatan perjudian haram itu dengan berselindung sebagai kafe siber.

"PBT memberi jaminan untuk bekerjasama rapat dengan polis bagi membanteras kegiatan judi haram ini dan kita hantar senarai premis berlesen itu supaya PBT dapat membatalkan lesen perniagaan mereka.

"Ini kerana kita telah kenal pasti lebih 500 premis yang diperiksa mempunyai lesen namun disalah guna dengan menjadikannya pusat kegiatan judi online haram," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Abdul Samah, menerusi Fasa I Ops Dadu Khas bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, sebanyak 2,290 premis dikenal pasti menjalankan kegiatan perjudian berkomputer haram di seluruh Selangor dan operasi itu lebih memfokuskan semua pusat judi yang diarah tutup tidak beroperasi semula.

Beliau berkata bagi Fasa II operasi sama bermula 3 Nov hingga Selasa lepas, sebanyak 4,189 serbuan dilakukan dengan 16 daripadanya melibatkan rampasan 5,503 monitor dan 7,341 CPU yang digunakan untuk kegiatan perjudian haram.

Jelas beliau, hasil rampasan itu disyaki disorok anggota sindiket judi haram berkenaan sejak pelancaran besar-besaran Fasa I Ops Dadu Khas bagi digunakan semula untuk kegiatan sama namun pihaknya terus komited memastikan tiada lagi premis yang ditutup boleh beroperasi sekali lagi.

"Baru-baru ini, wujud cadangan untuk menggubal akta khusus baharu berkaitan kegiatan perjudian online. Ia amat diperlukan agar polis dapat terus bertindak hapuskan aktiviti tersebut kerana selama ini tindakan kita terhad berikutan kekangan undang-undang," katanya.

Sementara itu, Abdul Samah berkata bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, Polis Selangor berjaya menurunkan 15.4 peratus Indeks Kadar Jenayah dengan menyelesaikan 16,693 kes daripada 30,562 kes yang direkodkan.

Katanya hanya jenayah melibatkan samun bersenjata api meningkat satu kes menjadi empat kes bagi tempoh sama berbanding tiga kes tahun sebelumnya namun bagi jenayah harta benda dan kekerasan pula menunjukkan penurunan hampir 15 peratus.- BERNAMA
ArtikelDiterbitkan 13 Nov 2014 7.55 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM