Seminar Pegawai Kanan Polis Wanita Tahun 2010
Cheras - 8 Februari 2010. Seminar Pegawai Kanan Polis Wanita Tahun 2010 telah berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur, Cheras.
Seminar dengan tema ' Polis Wanita & Cabaran Masa Kini' ini bermula dari 7 Februari 2010 sehingga 10 Februari 2010 telah dihadiri seramai 257 orang pegawai dari seluruh kontinjen. Objektif seminar ini ialah :-
1. Memberi pendedahan anjakan peranan dan cabaran Polis Wanita dalam kepolisan kotemporani,
2. Memaklumkan perkembangan terkini strategi pelan pembangunan Polis Wanita
3. Memperkukuhkan semangat setia kawan dan jaringan kerjasama di kalangan Polis Wanita
Perasmian Seminar telah di sempurnakan oleh YB Senator Dato' Sri Sharizat binti Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada pagi ini.
Turut hadir ialah YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara. Y.Bhg. Datuk Nor Hayati binti Sulaiman, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, YDH DCP Dato' Robiah binti Abdul Ghani, Ketua Polis Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Pembangunan Polis Wanita, YDH SAC I Dato' Zaleha binti Abd. Rahman, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Seminar Pegawai-Pegawai Kanan Polis Wanita Tahun 2010, YDH Dato'-Dato' Pengarah PDRM serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM.
Sumbangan kaum wanita dalam bidang kepolisan telah bermula seawal tahun 1950-an, iaitu sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Penglibatan kaum wanita bermula hanya sebagai "Home Guard" pada tahun 1948 yang bertujuan untuk menyahut seruan penglibatan orang awam secara sukarela dalam kegiatan menentang keganasan komunis.
Sejak itu, keperluan penglibatan wanita dalam tugas –tugas keselamatan telah disedari, terutamanya apabila pihak polis memerlukan polis wanita untuk memeriksa penjenayah yang terdiri daripada kaum wanita. Kesedaran ini telah bercambah sehingga timbulnya aspirasi pengambilan anggota-anggota polis wanita. Justeru, seorang pegawai polis wanita berbangsa British yang berpangkat Assistant Superintendent of Police (ASP) B.D.R Wentworth dari Hull City Police telah dipinjamkan pada 17 Ogos 1955, untuk membantu dalam pemilihan dan pengambilan wanita tempatan ke dalam perkhidmatan polis pada masa itu.
Seterusnya, pada 15 Oktober 1955, seramai tujuh (7) pelatih polis wanita yang terdiri dari tiga (3) orang wanita keturunan Melayu, tiga (3) orang wanita keturunan Cina dan seorang wanita dari keturunan India, telah mencipta sejarah dengan menjalani Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis kuala lumpur, buat pertama kalinya.
Pengambilan ketujuh-tujuh polis wanita tempatan berbilang kaum ini, bukan sahaja melambangkan semangat muhibah masyarakat majmuk di negara ini, malah menjadi titik tolak yang menunjukkan wanita tempatan berjaya melepasi belenggu tradisi, dan membuka mata dunia bahawa wanita juga dapat berganding bahu dengan kaum lelaki dalam melaksanakan tugas-tugas yang didominasi oleh orang lelaki. Dengan pengambilan ini, maka Pasukan Polis Wanita telah ditubuhkan secara rasminya.
Kekuatan Polis Wanita telah bertambah dengan berlipat kali ganda, bermula dengan hanya 7 orang Inspektor, dan kini meningkat sehingga 11,439 orang atau 11.1%, daripada jumlah keseluruhan kekuatan PDRM, yang terdiri daripada 103,494 orang, yang merangkumi pelbagai pangkat.
Setelah 55 tahun berlalu, adalah didapati wanita yang menceburkan diri dalam kerjaya kepolisan, terdiri daripada Pegawai dan Anggota Polis Wanita yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang dalam pelbagai bidang di semua jabatan. Mereka pernah menerima anugerah-anugerah Pelatih Terbaik, Pegawai Penyiasat Terbaik, Perkhidmatan Cemerlang dan Akademik Cemerlang semasa berkhidmat dalam Pasukan Polis .
Mengimbas kembali pada tahun 2006, semasa yang dihormati Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan baru menyandang jawatan sebagai Ketua Polis Negara, pangkat tertinggi yang disandang oleh Pegawai Wanita ketika itu adalah Senior Asisten Komisioner Polis II (SAC II), yang disandang oleh hanya tiga (3) orang Pegawai Wanita sahaja.
Di atas sumbangan, komitmen dan dedikasi yang berterusan, Pegawai Polis Wanita telah diberi pengiktirafan untuk memegang jawatan penting dalam PDRM dan kini, seramai tiga (3) Pegawai Polis Wanita telah dinaikkan ke pangkat Deputi Komisioner Polis, dua (2) Senior Asisten Komisioner Polis I (SAC I) dan dua (2) Senior Asisten Komisioner II (SAC II). Kesemua mereka ini telah menabur bakti dalam pelbagai jabatan, seperti di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Logistik, Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, dan Cawangan Khas. Tidak terkecuali juga yang sedang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negeri.
Pencapaian tersebut jelas membuktikan keprihatinan YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan sebagai seorang Ketua Polis Negara yang mengamal dan mendokong sepenuhnya prinsip-prinsip kesamarataan terhadap semua pegawai dan anggotanya, tanpa mengira jantina. Pucuk pimpinan PDRM juga sentiasa peka terhadap perkembangan dan pembangunan Polis Wanita, sejajar dengan Dasar Wanita Negara. Pandangan dan suara wanita diterima pakai dalam proses membuat keputusan di semua peringkat PDRM.
Sempena seminar ini, peserta seminar bukan sahaja akan menghargai dan menghayati prinsip kesamarataan tersebut, malah akan berusaha membuahkan inisiatif baru dan membina untuk kemajuan kerjaya Polis Wanita, khususnya dan PDRM, amnya. Di samping itu, semua peserta menggunakan peluang di seminar ini untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kefahaman mengenai isu-isu dan cabaran kepolisan pada masa kini.
Di seminar ini juga dipertontonkan video klip 'Srikandi Seribu Wajah Satu Tekad' dan juga dialog dengan tajuk :-
1. Dasar Wanita Negara
2. Isu Kekeluargaan
3. 'After Dinner Talk' bersama Ketua Polis Negara
4. Persepsi Masyarakat Ke Atas Polis Wanita
5. Isu-isu Perundangan Berkaitan Dengan Hak Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak
6. 'Self-Branding for Senior Women Police Officers'
7. Wanita Dalam Kerjaya Penguatkuasaan
8. Penampilan Menawan, Pasukan Cemerlang
9. Kepimpinan Polis Wanita- Isu Dan Cabaran
Melalui seminar ini, diharap dapat mencapai objektifnya dalam membentuk Polis Wanita yang Progresif, Dinamik dan Responsif untuk melengkapkan sistem penyampaian perkhidmatan yang berpaksikan masyarakat, di samping memperkukuhkan semangat setia kawan dan kerjasama padu di kalangan Polis Wanita melalui perkongsian pengalaman, pendapat dan pengetahuan.

dari kanan...YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, YB Senator Dato' Sri Shahrizat binti Abdul Jalil dan YDH DCP Dato' Robiah binti Abdul Ghani.

Ucapan Aluan oleh YDH DCP Dato' Robiah binti Abdul Ghani, Ketua Polis Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Pembangunan Polis Wanita

Ucapan Perasmian oleh YB Senator Dato' Sri Sharizat binti Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Gimik perasmian oleh YB Senator Dato' Sri Sharizat binti Abdul Jalil

Persembahan istimewa Polis Wanita kepada YB Senator Dato' Sri Sharizat binti Abdul Jalil.

Antara YDH Dato'-Dato' Pengarah serta Pegawai Kanan PDRM yang hadir

Antara perserta-peserta seminar...

Khusyuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Puan Zuraidah binti Amiruddin, bertajuk "Dasar Wanita Negara".

Bergambar kenangan bersama YB Senator Dato' Sri Sharizat binti Abdul Jalil