Seminar Kepimpinan Pprpd Malaysia Bil 2 2007
Kuala Lumpur - 6 September 2007. Persatuan Pegawai Pangkat Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD) mengambil langkah bijak dengan mengadakan kursus berteraskan semangat jati diri dan integriti bagi melahirkan modal insan yang berkarisma dalam usaha memantapkan lagi organisasi PDRM, sejajar dengan kehendak pucuk pimpinan PDRM.
Kursus tersebut diadakan pada 3 - 5 September 2007 di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) dan dirasmikan oleh YDH CP Dato' Ismail Hj. Omar, Pengarah Pengurusan PDRM.
Ketika berucap pada majlis itu, YDH CP Dato' Ismail Omar menekankan bahawa setiap anggota polis perlu mempunyai jati diri yang kukuh, berjiwa besar di samping memiliki sikap sayangkan pasukan dan negara.
"Saya berharap melalui seminar sedemikian dapat melahirkan modal insan yang berkarisma, bukan sahaja berpengetahuan luas dalam bidang penugasan kepolisan, tetapi juga mempunyai sikap sayangkan pasukan dan negara", kata Dato' Ismail Hj Omar sambil mengucapkan tahniah kepada Sub Insp. Jamal Abdullah Presiden PPRPD Malaysia yang telah berusaha keras mengadakan seminar tersebut.
Seminar tiga hari itu berteraskan 'ikon', melibatkan seramai 250 orang anggota polis dari seluruh negara. Turut terlibat adalah pemimpin-pemimpin PPRPD Kontinjen, Briged PGA, Maktab dan Pusat Latihan Polis serta semua cawangan dan unit yang terdapat dalam PDRM.
Tambah Dato' Ismail, warga polis terutama anggota pangkat rendah yang mempunyai bilangan yang ramai dalam pasukan, perlu mencurahkan bakti dengan ikhlas dan jujur kepada masyarakat dan negara secara profesional.
"Melalui seminar ini saya dapati para peserta ditanamkan semangat jati diri dan integriti diri yang tinggi di samping semangat patriotik dan perpaduan telah berjaya dipupuk di hati para peserta", ujar Dato' Ismail dengan harapan seminar sedemikian dapat diteruskan dan berjanji akan memberikan sokongan penuh kepada PPRPD Malaysia untuk menganjurkannya.
Pada seminar itu penceramah dari PDRM terdiri daripada YDH Dato' Asri Yusof ,Tim Ketua Urus Setia KPN (Tatatertib), ACP Abu Bakar Johar Tim Ketua Polis Perlis, ACP Mazlan Tan Sri Mansor Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Selangor dan Supt. Kamarudin A. Aziz Penolong Urus Setia KPN (Tatatertib) (Operasi).
Manakala penceramah jemputan pula ialah Penolong Kanan Pesuruhjaya I, Abu Zubir Hj. Mahfodz, Pengarah BPR Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Mohamad Hafizi Sulaiman daripada JAKIM.
"Seminar
sedemikian boleh menjadi salah satu platform yang mampu menyemarakkan
lagi proses pembinaan modal insan yang memiliki semangat patriotisma dan
jati diri yang utuh terhadap pasukan dan negara". Kata Sub Insp. Jamal
Abdullah ketika berucap di majlis penutupan seminar itu.

Penghargaan
dan terima kasih... Presiden PPRPD Malaysia Sub Insp. Jamal Abdullah
menyampaikan tanda kenangan kepada YDH CP Dato' Ismail Hj Omar, Pengarah
Pengurusan PDRM setelah merasmikan Seminar Kepimpinan PPRPD Malaysia
Bil 2/2007, anjuran bersama Jabatan Pengurusan PDRM