Sembunyi Dadah Dalam Kasut Dalang Warga Afrika Tumpas
Kuala Lumpur, 2 Oktober – Seramai 14 orang warga Afrika, masing-masing 13 lelaki dan seorang wanita ditahan dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 8 dan 30 September lalu.
Hasil kedua-dua serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya merampas 16.4 kilogram (kg) dadah yang bernilai RM5 juta serta rampasan harta bernilai RM32,202 milik anggota sindiket terbabit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, Dato’ Sri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dalam sidang media JSJN di Bukit Aman sebentar tadi berkata, kejayaan ini adalah hasil kerjasama JSJN PDRM bersama Drug Enforcement Administration (DEA) bagi memastikan segala aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah dapat dibanteras seluruhnya.
Sindiket ini telah menjalankan modus operandi dengan cara menyembunyikan dadah di dalam kasut dan beg-beg tangan wanita untuk dihantar ke luar negara menggunakan perkhidmatan kurier.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 Oktober ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.