Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Sembilan Suspek Ditahan Polis Terlibat Judi Euro 2016

Published: 30 Jun 2016 10.48 AM Updated: 15 Aug 2026 7.24 PM
Sembilan suspek terlibat dalam pertaruhan haram sempena bola sepak Euro 2016 ditahan polis Kedah dalam 14 serbuan menerusi Op Saga IV Euro 2016.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/sembilan-suspek-ditahan-polis-terlibat-judi-euro-2016
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 17:45 MYT
Alor Setar, 30 Jun - Sembilan suspek terlibat dalam pertaruhan haram sempena bola sepak Euro 2016 ditahan polis Kedah dalam 14 serbuan menerusi Op Saga IV Euro 2016.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Mohd Nashir Ya berkata kesemua suspek berusia antara 20-an dan 50-an ditahan bermula pada 10 Jun hingga 29 Jun lepas, hasil risikan dan maklumat awam di beberapa tempat di negeri ini.

Katanya hasil serbuan itu pihaknya merampas pelbagai peralatan perjudian seperti telefon bimbit, komputer riba, kelengkapan Internet, slip penyata bank disyaki transaksi pertaruhan dan wang tunai bernilai RM6,475.

Beliau berkata hasil siasatan pada komputer riba yang dirampas mendapati terdapat laman sesawang yang disyaki menjalankan pertaruhan Euro.

"Hasil siasatan mendapati nilai pertaruhan setiap hari berjumlah RM180,000 dan nilai pertaruhan keseluruhan yang telah dilakukan suspek bernilai RM2.5 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Nashir berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 serta penjara tidak kurang daripada lima bulan.

Sementara itu, katanya polis meminta orang ramai tampil memberi maklumat berkaitan kes samun sehingga menyebabkan kecederaan pada seorang wanita berumur 20-an di Kuala Sungai di sini pada kira-kira 1 tengah hari semalam (29 Jun).

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan dua lelaki berusia 20-an dipercayai terlibat dalam kes tersebut yang menyebabkan mangsa patah tulang pipi, retak tulang pada bahagian kening serta mengalami pendarahan dalam kepala.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun sehingga menyebabkan kecederaan pada mangsa.- BERNAMA
ArticlePublished 30 Jun 2016 10.48 AMUpdated 15 Aug 2026 7.24 PM