Saudagar Todi Ditangkap
JEMPOL 8 Jun 2010 - Seorang lelaki kononnya mahu menjadi 'saudagar todi' akhirnya menerima padah apabila kedai menjual arak buatan sendiri miliknya diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.
Premis haram itu yang terletak dalam sebuah kebun getah di Jalan Air Hitam diserbu dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintenden Muhammad Yazed Mohd. Serah berkata, operasi disertai seramai 20 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Imigresen, Majlis Daerah Jempol (MDJL), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Dalam serbuan ini, kita menahan suspek berusia 46 tahun yang menjual arak buatan sendiri atau todi kepada orang ramai di sebuah kedai yang terletak dalam sebuah kebun getah kira-kira 30 meter dari jalan besar.
"Kita juga menemui satu tong berisi arak di belakang kedai berkenaan dan dua tong lagi di dalam sebuah van milik suspek," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang Jumaat lalu itu, seramai lima pelanggan yang sedang menikmati arak berkenaan bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Malah, suspek itu turut bertindak nekad cuba membuang satu tong arak yang disorok di belakang kedainya.
Bagaimanapun, tindakan suspek berjaya dihalang oleh pihak berkuasa yang kemudiannya menahan lelaki berkenaan.
Katanya, susulan daripada serbuan itu, pihak berkuasa kemudian menyerbu rumah suspek yang terletak di Kampung Melor, Air Hitam di sini dan merampas empat tong cat serta dua tong air berisi arak.
"Selain itu, kita juga menahan seorang lelaki warga India berusia lingkungan 30-an dalam rumah berkenaan yang disyaki bekerja tanpa permit dengan suspek.
"Beberapa peralatan untuk mengambil nira kelapa untuk diproses menjadi arak turut dirampas," ujarnya.
Muhammad Yazed berkata, suspek disyaki menjalankan kegiatan haram itu sejak empat tahun lalu dan pernah dikenakan denda oleh KDRM kerana menjual arak tanpa lesen.
Menurutnya, suspek menjadikan kediamannya sebagai tempat memproses arak yang diproses daripada nira kelapa sebelum dijual kepada pelanggan di kedai.
"Kali ini, suspek dikenakan saman oleh MDJL dan KDRM kerana berniaga tanpa lesen serta premis berkenaan turut disita oleh Kementerian Kesihatan," jelasnya