Doktor Ditahan Kerana Dadah Kodein Cecair
SHAH
ALAM, 8 Jun 2010 -- Polis menahan seorang doktor swasta kerana
dipercayai memproses ubat-ubatan untuk dijadikan cecair kodein dalam
serbuan di sebuah rumah di Taman Sungai Kapar Indah, Klang, Sabtu lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata
doktor warga tempatan berusia 49 tahun ditahan di rumahnya itu kira-kira
pukul 1.30 pagi manakala seorang petugas sebuah syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) berusia 38 tahun ditahan di sebuah rumah berdekatan di
taman yang sama sejam sebelum itu.
"Dalam
kedua-dua serbuan itu, polis merampas 23 botol bersaiz empat liter dan
144 botol 120ml yang berisi cecair disyaki kodein, 900 biji pil Domicum,
6,000 biji pilNospon, 8,000 biji Pseudorine, 500 biji pil Suncodeine,
280 biji pil Stilnox serta 24 botol empat liter yang berisi 24 liter
cecair hitam.
"Kesemua
barangan yang dirampas bernilai hampir RM64,000," katanya kepada
pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini
hari Selasa.
Nordin
percaya bekas doktor hospital kerajaan itu, yang kini mempunyai sebuah
klinik, menjalankan aktiviti itu selama enam bulan.
"Sekarang
tiada kodein dikeluarkan dan ia tersenarai sebagai satu bahan di bawah
Akta Racun. Kodein akan menghasilkan khayalan kuat jika disalahgunakan,"
katanya.
Katanya
doktor tersebut membayar sejumlah upah kepada suspek pertama untuk
mencampuradukkan ubat-ubatan bagi dijadikan kodein yang dipercayai
dijual kepada penagih dadah.
Beliau
berkata polis sedang menyiasat rakan kongsi klinik doktor berkenaan,
yang mempunyai rekod kesalahan lampau pada 2005 sebab menjual
ubat-ubatan kepada mereka yang tidak berkenaan.
"Polis juga sedang siasat sama ada doktor itu menjual cecair kodein itu dari rumahnya," katanya.
Kedua-dua suspek direman sehingga 16 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kodein
yang didapati dalam ubat-ubat batuk digunakan untuk mengurangkan rasa
sakit yang ringan dan ia tidak memberikan kesan ketagihan jika
berbanding dengan heroin ataupun morfin.
Biasanya kodein diminum dalam bentuk ubat batuk dan juga diambil dalam bentuk pil yang dibancuh dengan air.