Rampas Ketamin Ecstasy Bernilai Rm300 000
JOHOR
BAHARU, 29 Julai 2010 -- Polis Johor berjaya merampas dadah dianggar
bernilai RM330,000 dan menahan enam orang termasuk tiga warga Singapura
dalam dua serbuan pada minggu lepas dan kelmarin, di sini.
Ketua
Polis Negeri, Dato' Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam serbuan
pertama pada Rabu minggu lepas, pihaknya menahan dua lelaki tempatan
berusia 28 dan 38 tahun di Taman Seri Austin kerana disyaki mengedar
dadah jenis ketamin.
Mereka
yang dipercayai mengedar dadah sejak lima tahun lepas ditahan dalam
serbuan di sebuah rumah pada pukul 11 malam, dan hasil pemeriksaan polis
menemui ketamin seberat 8.6 kilogram, pelbagai peralatan pembungkusan
dan pengedaran, katanya kepada pemberita, di sini pada Khamis.
Beliau berkata dadah itu dianggar bernilai RM250,000 dan dipercayai untuk edaran tempatan.
Polis
turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha LC, seutas rantai emas dan
sebuah kereta Proton Waja dengan nilai keseluruhan RM27,500, katanya.
Dalam
serbuan kedua di sebuah apartmen di Senibong, Masai pada Selasa lepas,
polis menahan tiga rakyat Singapura dan seorang lelaki tempatan
dipercayai anggota sebuah sindiket mengedar dadah di bandar raya ini.
Warga
Singapura terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita daripada
sebuah keluarga, masing-masing berusia 28, 62 dan 61, serta lelaki
tempatan berusia 37 tahun itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini,
katanya.
Dalam
serbuan pukul 2 petang itu polis menemui dadah dipercayai ecstasy dalam
bentuk serbuk dan pil iaitu lima paket plastik mengandungi 350 gram
serbuk dan 32 biji pil seberat lapan gram dengan nilai keseluruhan
kira-kira RM80,000.
Polis
turut menjumpai pelbagai peralatan pencetak dan pembungkusan pil di
apartmen tersebut serta menyita sebuah kereta Honda City bernilai
RM87,000.
Kesemua
yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kedua-dua kes
disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.