Raifal Peluru Dirampas Di Sempadan Negara
Kangar,
25 Jan - Polis Perlis merampas sepucuk raifal buatan Republik Czech
bersama dua butir peluru hidup di kawasan sempadan Malaysia-Thailand
berhampiran Pos Kawalan Simpang 5, Kaki Bukit dekat sini, pada 21 Jan
lepas.
Ketua
Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron berkata dalam kejadian pada
kira-kira pukul 9 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari
Batalion Ketiga Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor, Perak yang sedang meronda
di kawasan sempadan, terserempak dengan dua lelaki berbaju hitam.
"Apabila
menyedari kehadiran pasukan PGA, kedua-dua lelaki tersebut terus
melarikan diri ke dalam hutan berbukit sempadan Malaysia-Thailand.
Anggota PGA cuba mengejar, tetapi gagal menangkap mereka," katanya dalam
sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut
beliau, hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk raifal jenis CZ 452-2E
ZKM (No.Siri 790618) bersama teropong yang dilekatkan pada raifal
berkenaan iaitu dari jenis 'BSA Dear Hunter 3-9X32E' yang ditinggalkan
kedua-dua lelaki berkenaan.
Turut dirampas dua beg galas hijau yang mengandungi dua buaian tidur warna hitam celoreng hijau, katanya.
Zull
Aznam berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu dipercayai
pemburu haram warga Thailand yang memburu binatang di kawasan hutan
Malaysia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Sementara
itu, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar merampas sebanyak
1,200 tin minuman keras pelbagai jenama dari sebuah kereta Proton Wira
di Kampung Kolam, Padang Besar, 23 Jan lepas.
Menurut
Zull Aznam, dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, pemandu kereta
berkenaan berjaya melarikan diri dan meninggalkan kereta bersama minuman
keras berkenaan.
Hasil
pemeriksaan mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor plat palsu
yang dilaporkan dicuri di Kepala Batas, Kedah sementara minuman keras
itu barangan yang mengelak cukai di bawah Seksyen 135/1/B Akta Kastam
1967.
Sumber : BERNAMA