Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Pprpd Gotong Royong Bina Titi

Diterbitkan: 11 Jun 2014 6.07 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
"Semua peringkat kepimpinan persatuan pasukan polis diminta melaksanakan program 'Turun Padang' bagi memastikan setiap ahli mendapat faedah dan pembelaan sewajarnya sebagai seorang ahli persatuan'...
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/pprpd-gotong-royong-bina-titi
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 12:59 MYT

Bagan Datoh, 24 Julai 2011 - "Semua peringkat kepimpinan persatuan pasukan polis diminta melaksanakan program 'Turun Padang' bagi memastikan setiap ahli mendapat faedah dan pembelaan sewajarnya sebagai seorang ahli persatuan".

Demikian kata Sub. Insp. Norraji Rojo, Pengerusi PPRPD Kontinjen Perak, ketika ditemui di Majlis Gotong Royong Membina Titi di rumah Allahyarham Konst/P. 181833 Mohamad bin Siman, yang telah meninggal dunia akibat virus Andenovirus ketika menjalani Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sub. Insp. Norraji mengulangi kata-kata Deputi Inspektor Jeneral Dato' Sri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara, semasa barisan Exco PPRPD Malaysia mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Timbalan Ketua Polis Negara pada 18 Julai 2011 lalu.

"Setiap program yang dianjur bertujuan memastikan kebajikan setiap ahli terpelihara dan tiada yang terpinggir daripada arus pembangunan walau pun telah meninggal dunia".

"Program gotong royong sedemikian perlu dijadikan satu pendekatan untuk memastikan semua peringkat kepimpinan PPRPD turun padang memberikan bantuan yang diperlukan supaya tiada isi keluarga tersentuh hati dengan pemberian pasukan".

Kata Sub Insp. Norraji setelah selesai membina titi baru di rumah Allahyarham Mohamad bin Siman, di Kg. Sungai Tiang, Selekoh, Rungkup, Bagan Datoh, Perak, yang turut disertai oleh penduduk kampung itu.

Turut hadir Supt Mohd Zaki Harun, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Perak dan Hj. Mohd Yunos Abd. Rahim, Ketua Kampung Sungai Tiang, Rungkup, Bagan Datoh, Perak.

"Melalui program gotong royong ini tidak memerlukan perbelanjaan yang besar namun apa yang penting adalah keprihatinan semua pihak untuk menjaga golongan yang memerlukan bantuan", ujar Sub. Insp. Norraji lagi.

Menurut Sub. Insp. Norraji lagi, "sikap bergotong royong dan keprihatinan ahli amat dipuji, golongan susah tidak kita lupakan dan semua kita bantu tanpa mengira latar belakang kaum atau agama. Ia secara tidak langsung memenuhi tanggungjawab kami selaku exco PPRPD menjadi pemangkin kepada mencapai visi dan misi pasukan. Ini akan memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk memillih kerjaya kepolisan".

Bagi Siman Sappar, dia merasakan seperti mimpi yang menjadi nyata apabila dapat melihat sendiri titi yang diidamkan oleh arwah telah dibina oleh penduduk kampung dan warga polis.

"Saya begitu teruja dan gembira apabila hajat arwah untuk membina sebuah titi baru telah menjadi kenyataan dan merupakan kenangan paling manis apabila dapat membina dan mengguna titi itu bersama ahli keluarga".

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM dan para penduduk kampung yang prihatin serta bersama-sama bergotong royong membina titi untuk kemudahan saya sekeluarga".

Demikian kata Siman Sappar jelas terharu dengan sumbangan yang dihulurkan oleh pasukan polis terutama PPRPD Malaysia, walau pun anaknya Allahyarham Mohamad hanya sebulan menyertai pasukan polis.

Pprpd Gotong Royong Bina Titi
Titi usang menuju ke rumah Siman Sappar dirobohkan untuk diganti baru, sambil diselia oleh SM Bashir Abd. Samad Ibrahim (tengah, berkaca mata).

Pprpd Gotong Royong Bina Titi
Warga PPRPD bergotong-royong bersama penduduk Kampung Sungai Tiang, Selekoh, Rungkup dan Bagan Datoh, Perak, membina titi baru.

Pprpd Gotong Royong Bina Titi
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing...Bersama-sama mengerah keringat membina titi di rumah Siman Sappar.

Pprpd Gotong Royong Bina Titi
Titi diuji...Warga PPRPD Kontinjen Perak, berusaha menyiapkan titi  tersebut dengan memastikan kayu tersebut kukuh dan tahan lama.

Pprpd Gotong Royong Bina Titi
Bersatu hati...Sepakat membina titi agar siap mengikut yang dirancang.

Pprpd Gotong Royong Bina Titi
Warga PPRPD bersama Supt. Mohd Zaki Haron, Timbalan Ketua Polis Daerah hilir Perak (bertopi kuning), bersungguh-sungguh menyiapkan titi. Turut sama Siman Sappar.

Wartawan/Jurugambar : SM Megat Nizar

ArtikelDiterbitkan 11 Jun 2014 6.07 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM