
Article
Posting Pilihan Pengarah Jabatan Kdnka Adakan Lawatan Kebajikan Ke Atas Mangsa Kemalangan Helikopter Pgu
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim telah mengadakan lawatan kebajikan ke atas mangsa kemalanga...
Johor Bahru, 12 Julai 2025 – Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim telah mengadakan lawatan kebajikan ke atas mangsa kemalangan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), bertujuan untuk menzahirkan keprihatinan dan sokongan moral kepada lima orang pegawai dan anggota PDRM yang terlibat dalam nahas helikopter di Sungai Pulai, Iskandar Puteri, pada 10 Julai lalu.
Dato' Sri Azmi yang tiba bersama delegasi PDRM telah menerima taklimat perubatan terperinci daripada pakar-pakar perubatan kecemasan HSA sebelum dibawa melawat lima mangsa nahas yang kini sedang dirawat iaitu ACP Faizul Muhamad, Superintenden Ahmad Bustamin Baharom, Sarjan Siti Latipah Khairuddin, Koperal Adeline Liu Yan Siu dan Konstabel Devendran Raja Gopal. Kelima-lima mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil oleh pakar.
Semasa lawatan, Dato' Sri Azmi turut menzahirkan penghargaan tulus kepada pihak HSA atas kecekapan dan kepantasan rawatan yang diberikan kepada mangsa. Beliau turut menzahirkan rasa empati yang mendalam terhadap semua mangsa dan keluarga mereka, menekankan aspek sokongan psikologi sebagai intipati lawatan. Lawatan ini bukan sahaja untuk melihat keadaan fizikal mangsa, tetapi juga untuk menyantuni dan memberikan kekuatan kepada mereka serta ahli keluarga yang hadir.
Turut hadir, Ketua Polis Johor, CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, Timbalan Pengarah (Gerakan) KDNKA, Bukit Aman, DCP M.V. Srikumar Madhavan Nair, Komander PGU, DCP Dato' Nor Sham Md. Jani serta pegawai kanan polis.
Sumber: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam












