
Article
Posting Pilihan Nama Almarhum Tunku Abdul Jalil Diabadikan Pada Kompleks Latihan Utk Pdrm
Johor Bahru, 16 November 2022 - Nama Almarhum Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor diabadikan pada Kompleks Lat...
Johor Bahru, 16 November 2022 - Nama Almarhum Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor diabadikan pada Kompleks Latihan Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang dibina sebagai kenangan dan kecemerlangan Almarhum yang pernah menjalani latihan bersama pasukan elit tersebut.
Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali, pagi tadi.
Dalam pertemuan tersebut, CP Dato’ Sri Hazani mempersembahkan cadangan nama bagi kompleks berkenaan dan Baginda telah memperkenankannya sebagai Kompleks Tunku Laksamana Abdul Jalil Unit Tindakhas PDRM.
Kompleks itu juga akan menempatkan satu ruangan khas bagi memperingati Almarhum Tunku Abdul Jalil apabila ia siap kelak.
Almarhum Tunku Abdul Jalil yang mangkat pada 5 Disember 2015, merupakan satu-satunya kerabat diraja yang menyertai perkhidmatan polis dan mengikuti kursus Inspektor Percubaan selama sembilan bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur ketika berusia 21 tahun dan menamatkan latihan pada tahun 2012, seterusnya menjalani kursus latihan asas UTK di Ulu Kinta, Ipoh, Perak.
Hadir sama, Ketua Polis Johor, CP Dato’ Kamarul Zaman Mamat dan Komander UTK, SAC Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Sumber: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar