Pondan Menyamar Doktor Perdaya Lima Klinik Ditahan
Melaka,
13 April - Polis menahan seorang pondan yang menyamar sebagai doktor
perubatan dan memperdaya lima klinik di sekitar daerah Melaka Tengah di
sini untuk menerimanya sebagai pekerja sambilan.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supt Soh Hock Sing
berkata lelaki berusia 26 tahun yang dikenali sebagai 'Doktor Ika' itu
turut memalsukan Sijil Perakuan Amalan Tahunan bagi menyakinkan majikan untuk mengupahnya dengan bayaran maksimum RM45 sejam.
Beliau
berkata lelaki tersebut dipercayai menyamar sebagai doctor dengan
menggunakan salinan sijil dari Majlis Perubatan Malaysia ketika memohon
pekerjaan berkenaan di lima klinik di Sungai Udang, Batu Berendam dan
Melaka Baru sejak Januari lepas.
"Salinan
sijil yang dicetak berkenaan mempunyai nombor siri yang sebenarnya
milik pegawai perubatan lain tetapi dipalsukan suspek," katanya pada
siding akhbar di sini, hari ini.
Beliau
berkata lelaki yang berasal dari Sabah dan menetap di Ampang, Kuala
Lumpur itu, didapati menyewa rumah di Batu Berendam di sini dan
dipercayai turut menggunakan helah sama di Perak dan Pahang sebelum
berpindah ke Melaka bagi mengelak dikesan.
Katanya
siasatan awal mendapati lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu
dikatakan memberi lebih perhatian kepada pesakit lelaki yang dating
mendapatkan rawatan.
Soh
berkata bagaimanapun penyamaran doktor palsu yang berwajah ayu,
bertubuh kecil dan sering berbaju kurung serta bertudung itu terbongkar
apabila sebuah klinik di Batu Berendam menerima aduan daripada seorang
isteri pesakit yang memberitahu suspek sering menghubungi suaminya
melalui telefon bimbit.
Beliau
berkata aduan itu kemudian membawa kepada pendedahan maklumat peribadi
sebenar doktor palsu tersebut yang dilakukan klinik berkenaan sebelum
membuat laporan polis pada 8 April lepas.
Katanya
bertindak atas aduan tersebut, satu pasukan khas ditubuhkan dan seorang
pegawai JSJK menyamar menjadi pesakit suspek sebelum berjaya menahannya
di Batu Berendam pada 11 April lepas.
Sehubungan
itu beliau meminta mangsa yang terdiri daripada pemilik klinik yang
pernah menggaji suspek dan bekas pesakit yang pernah mendapatkan rawatan
tampil bagi membantu siasatan.
Lelaki
tersebut ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin depan dan kes
disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar untuk
tujuan menipu, katanya.
BERNAMA