Polis Tumpaskan Geng Samun Jalanan Di Melaka Tengah
Melaka,
20 Sept - Polis Melaka menumpaskan satu geng samun jalanan susulan
penangkapan tiga suspek termasuk seorang wanita di Taman Delima Raya,
Bukit Baru, Melaka Tengah awal pagi semalam.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata
masing-masing yang berusia 20, 28 dan 29 tahun terbabit ditahan di
sebuah rumah di taman berkenaan pada pukul 1.30 pagi.
Hasil
serbuan itu polis merampas lima telefon bimbit dan satu beg tangan
wanita yang dipercayai hasil samun serta dua motosikal termasuk sebuah
dilapor dicuri di Alor Gajah, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Raja
Shahrom, kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mengaku
melakukan samun jalanan khususnya di sekitar Jonker Street, Dataran
1Malaysia di Klebang dan Taman Cheng Ria.
Modus
operandi mereka sama ada menaiki motosikal dan meragut mangsa atau
menyamar sebagai penguat kuasa dan mengugut mangsa dengan parang agar
menyerahkan barangan berharga, katanya.
Beliau berkata suspek lelaki berusia 28 tahun itu mempunyai empat rekod jenayah kekerasan dan dua kes dadah.
Dengan penangkapan ini polis berjaya menyelesaikan empat kes samun jalanan dan satu kes curi motosikal, katanya.
Beliau juga meminta mangsa samun ketiga-tiga suspek tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bagi membantu siasatan.
Sumber : BERNAMA