Polis Tumpaskan Geng Curi Motosikal Mirul Tok Kaya
Kuala
Terengganu, 12 Feb : Polis menumpaskan Geng Mirul Tok Kaya yang aktif
melakukan kegiatan mencuri motosikal di sekitar negeri ini sejak enam
bulan lalu dengan tertangkapnya lapan lelaki termasuk bapa kepada suspek
utama kumpulan itu di Kampung Chabang Tiga di sini awal bulan ini.
Bagaimanapun bapa kepada suspek utama yang berumur 59 tahun
telah dibebaskan, tetapi akan menjadi saksi polis dalam kes tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata tujuh
suspek yang berusia 16 hingga 24 tahun ditahan di sekitar Chabang Tiga
dan Seberang Takir. Dua daripada mereka yang ditahan di Kampung Seberang
Takir merupakan pembeli barangan curi berkenaan.
"Hasil
penahanan tersebut, kita turut menemui dua rangka dan casis motosikal
serta komponen enjin yang ditemui dalam tali air di Kampug Tok Kaya dan
empat lagi di sekitar kawasan rumah suspek di Kampung Tok Kaya," katanya
kepada pemberita di sini hari ini. Tiga lagi anggota kumpulan itu masih
diburu.
ACP
K. Manoharan berkata kumpulan itu bergiat aktif di waktu malam dan
sasaran mereka ialah motosikal yang diletakkan di perkarangan rumah.
Beliau berkata dengan tertangkapnya suspek utama yang dikenali sebagai
Mirul, 19, polis berjaya menyelasaikan enam kes mencuri motosikal. Dua
daripada suspek pernah dihukum sebelum ini kerana mencuri motosikal dan
menghapuskan bahan curi, katanya. Manakala lima daripada suspek didapati
positif dadah jenis Methamphetamine.-BERNAMA