Polis Tumpas Sindiket Edar Dadah Di Kawasan Kampung
BAGAN
SERAI, 26 Ogos 2010 -- Satu sindiket pengedaran dadah yang mensasarkan
penagih di kawasan kampung sekitar daerah Kerian tumpas apabila polis
menahan dua lelaki dan merampas dadah bernilai lebih RM140,000 dalam dua
serbuan di sini Rabu.
Ketua
Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata dua lelaki berusia 33
dan 34 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung
Sungai Kepak, Simpang 4, Semanggol dan di Simpang, Taiping.
"Dalam
serbuan pertama di Kampung Sungai Kepak, Simpang 4, Semanggol pada
pukul 6.30 petang, polis merampas tiga ketulan ganja mampat seberat 300
gram setiap satu.
"Lelaki
yang ditahan dalam serbuan itu kemudian membawa polis ke sebuah rumah
di Simpang, Taiping dan hasil serbuan di rumah kedua itu, seorang
peniaga ditahan dan sebanyak 2,440 gram ganja mampat dan 1,300 gram
heroin yang dalam proses untuk dipek dirampas," katanya kepada pemberita
Khamis.
Mat
Fauzi berkata bekalan ganja dan heroin itu dipercayai diperoleh dari
dalam negara dan polis masih menyiasat sama ada ia mempunyai kaitan
dengan sindiket yang telah ditumpaskan sebelum ini.
Beliau berkata seorang daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah dadah.