Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Tumpas Sindiket Cetak Wang Asing Palsu

Published: 13 Jun 2014 6.29 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
Dalam operasi bermula 9 pagi kelmarin, polis merampas 409 keping wang kertas palsu AS$100 bernilai AS$40,900 (RM136,000), 825,000 rupiah (RM296) dan S$7.00 (RM16)...
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tumpas-sindiket-cetak-wang-asing-palsu
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 15:45 MYT

PULAU PINANG 23 Mei 2010 - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran wang palsu dengan tertangkapnya tiga lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia dalam dua serbuan berasingan, sejak dua hari lepas.

Dalam operasi bermula 9 pagi kelmarin, polis merampas 409 keping wang kertas palsu AS$100 bernilai AS$40,900 (RM136,000), 825,000 rupiah (RM296) dan S$7.00 (RM16).

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, keempat-empat suspek berusia dalam lingkungan 35 hingga 45 tahun itu ditahan di Jalan Kulim, Bukit Mertajam dan Taman Bidara di Machang Bubok.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, sindiket itu bergiat aktif sejak setahun lalu dengan menjadikan rumah tersebut sebagai tempat untuk mencetak wang palsu.

"Hasil maklumat orang awam serta pemantauan polis selama dua minggu, kita berjaya menyekat dan menumpaskan sindiket mata wang asing palsu itu untuk edaran di sini dan beberapa negeri lain.

"Selain merampas mata wang asing palsu itu, pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk mencetaknya juga dirampas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintenden Mohd. Nashir Ya.

Tambahnya, antara barangan itu adalah sebuah komputer riba, tetikus, modem, pelbagai jenis telefon bimbit, pengering rambut dan 10 helai kertas bersaiz A4 yang terdapat cetakan pelbagai mata wang.

Selain itu, katanya, 11 helai plastik kilat berwarna jingga, sebotol nila, sebotol dakwat warna hitam, sebotol cecair berwarna biru, empat batang berus dan empat helai kertas A4 tercatat mengenai sindiket wang palsu telah dirampas.

"Kita juga mendapati, sindiket itu turut menggunakan pelbagai cara untuk menguji kualiti wang palsu yang mereka cetak antaranya dengan membuat tukaran di kedai tukaran wang asing atau menjualnya kepada orang ramai.

"Semua suspek itu telah kita tahan bagi siasatan mengikut Seksyen 489 (D) Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda," ujarnya.

Sehubungan itu, Ayub menasihatkan orang awam supaya tidak membeli atau memiliki wang palsu kerana ia satu jenayah serius dan mereka yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut diminta melaporkannya kepada polis.

ArticlePublished 13 Jun 2014 6.29 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM