Polis Tumpas Kegiatan Sindiket Memproses Dadah Jenis Syabu
"Usaha
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM dan lain-lain agensi
Penguatkuasaan Dadah negara bagi mengekang penyeludupan masuk dadah
melalui lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan negara telah
mendorong sindiket dadah untuk beralih memproses dadah di dalam negara"
ujar CP Datuk Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam kenyataan beliau pada pagi ini.
Ini
terbukti dengan kejayaan terbaru Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
mematahkan kegiatan satu sindiket dadah warganegara asing menjalankan
kegiatan memproses dadah jenis syabu di sebuah kediaman mewah di
Changkat Kiara Bayu Dutamas Melor, Kuala Lumpur yang dijadikan makmal
haram memproses dadah jenis syabu di mana tiga warganegara Iran berjaya
ditangkap. Sejumlah lebih kurang 7 kg dadah syabu berbentuk kristal, 13
kg cecair syabu, pelbagai bahan kimia seperti acetone termasuk
peralatan-peralatan memproses dadah turut dirampas. Manakala, lebih
kurang 25 kg dadah prekursor syabu telah berjaya dirampas oleh pihak
polis dari sebuah kediaman salah seorang yang ditangkap. Nilai dadah
yang dirampas dianggarkan bernilai RM4 juta.

YDH CP Datuk Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menunjukkan dadah yang dirampas dan peralatan-peralatan memproses dadah.