Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tidak Pernah Anggap Mereka Di Atas Undang Undang Khalid

Diterbitkan: 04 Jun 2015 2.20 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuala Lumpur, 4 Jun- Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mempertahankan pasukan polis dengan berkata mereka tidak pernah menganggap diri mereka sebagai berada di atas undang-undang.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tidak-pernah-anggap-mereka-di-atas-undang-undang-khalid
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 04:16 MYT

Kuala Lumpur, 4 Jun- Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mempertahankan pasukan polis dengan berkata mereka tidak pernah menganggap diri mereka sebagai berada di atas undang-undang.

Sebaliknya beliau berkata mereka menganggap diri mereka sebagai penguat kuasa undang-undang yang turut tertakluk kepada undang-undang yang sama.

"Kami tidak menafikan terdapat segelintir 'kambing hitam' yang melanggar undang-undang semasa menguatkuasakannya ... tetapi bilangan mereka amat kecil.

"Ia tidak boleh dibayangkan apabila disifatkan sebagai tidak menghiraukan undang-undang. Oleh itu andaian umum bahawa kami merupakan institusi yang seolah-olah memikir kami melebihi undang-undang adalah tidak wajar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai respons kepada kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah mengenai polis pada sebuah forum baru-baru ini.

Dengan berkata ada kalanya Mohamed Dzaiddin 'tersasar', Khalid menolak dakwaan bahawa pasukan polis memaafkan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan anggotanya.

"Untuk mendakwa kami mengamalkan undang-undang tidak bertulis 'blue wall of silence' (tidak melapor kesalahan rakan sekerja) dalam melindungi puak kami sendiri, adalah tidak masuk akal," katanya.

Beliau mengalu-alukan penubuhan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard bagi memantau dengan ketat sebarang bentuk salah guna kuasa dalam kalangan kakitangan polis.

Beliau berkata modul latihan untuk pasukan polis menyediakan pemahaman asas berkaitan hak asasi manusia dan hak utama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini diperkukuh lagi dengan ceramah daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

"Suka juga disebut Suhakam telah mengaudit modul latihan kami berkaitan subjek ini dan University of Derby turut meluluskan modul ini untuk diberi akreditasi," katanya.

Mengenai kematian dalam tahanan, Khalid berkata dari 2010 hingga 2014, sejumlah 51 kes kematian semasa dalam tahanan polis telah disiasat.

"Daripada jumlah itu, empat anggota polis telah didakwa di mahkamah termasuk berkaitan kematian N. Dhamenderan," katanya.

Selain kes berkaitan polis pada 2013 itu, empat lagi kes dalam tahanan adalah disebabkan HIV (1), serangan jantung (8), lain-lain keadaan perubatan (33) dan mati gantung diri (8).

Khalid menekankan polis dan masyarakat adalah setaraf dalam menegakkan keadilan awam dan menyemai kepercayaan antara pengutkuasaan undang-undang dan orang awam.

"Sementara sesetengah pegawai menyalah guna kuasa, kebanyakannya adalah anggota yang baik," katanya dan menambah terdapat ramai anggota polis telah dan bersedia menggadai nyawa untuk negara.

"Tiada apa yang mereka mahu selain melindung, berkhidmat dan kemudian balik ke rumah dengan selamat selepas selesai bertugas," tambahnya.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 04 Jun 2015 2.20 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM