Polis Tahan Warga Taiwan Rampas Dadah Bernilai Rm7 1 Juta
SHAH
ALAM, 4 Mei (Bernama) -- Polis menumpaskan satu sindiket memproses dan
mengedar dadah jenis Eramin 5 selepas menahan dua orang termasuk seorang
rakyat Taiwan dan merampas dadah bernilai RM7.1 juta di sebuah rumah
kedai kosong di Bandar Pinggiran Subang, Petaling Jaya, Isnin lepas.
Ketua
Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata kedua-dua suspek
dipercayai ahli kimia yang berpengetahuan memproses dadah, ditahan
kira-kira pukul 3 petang hasil maklumat orang ramai.
"Dalam
serbuan itu, polis merampas 317,130 biji pil Eramin 5 seberat 54.6kg,
empat bungkusan plastik besar yang mengandungi serbuk Eramin 5 seberat
6.08kg, yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM7.1 juta.
"Selain
itu, polis turut merampas bahan-bahan kimia dan mesin yang digunakan
untuk memproses dadah itu serta wang tunai RM21,000, dollar Taiwan
101,800, dollar Singapura 7,572, Yuan China 1,440 dan dollar Hong Kong
450," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor
di sini.
Tun Hisan berkata siasatan mendapati sindiket itu membekalkan dadah di Malaysia dan luar negara.
Katanya,
kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 35 dan 41 tahun disiasat
mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengedar dadah yang
memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.