Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Selesai 66 Kes Penipuan Melibatkan Sindiket Fly By Nig

Diterbitkan: 16 Jun 2014 5.42 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
SHAH ALAM, 4 Mei (Bernama) -- Polis Selangor berjaya menyelesaikan 66 kes penipuan yang didalangi sindiket fly-by-night dengan tertangkapnya tiga anggota sindiket melibatkan rampasan bernilai RM55,000..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-selesai-66-kes-penipuan-melibatkan-sindiket-fly-by-nig
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 13:11 MYT

SHAH ALAM, 4 Mei (Bernama) -- Polis Selangor berjaya menyelesaikan 66 kes penipuan yang didalangi sindiket fly-by-night dengan tertangkapnya tiga anggota sindiket melibatkan rampasan bernilai RM55,000 di sekitar Lembah Klang 29 April lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata hasil maklumat orang ramai, polis menahan tiga lelaki tempatan di sebuah tempat di Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya, Selangor.

Setelah disoal siasat, kesemua suspek yang berusia antara 30 dan 58 tahun itu membawa polis ke sebuah tempat di Winner Heights, Desa Petaling, Kuala Lumpur dan polis merampas beberapa barangan kes yang antara lain 200 gulung paip, tujuh telefon bimbit pelbagai jenis, dua komputer riba dan tiga cop syarikat yang keseluruhannya bernilai RM55,000.

Beliau berkata polis juga menemui beberapa dokumen seperti buku cek, sebut harga, invois serta slip bank dari tempat itu.

"Kerugian yang dialami mangsa-mangsa sindiket ini sejak Jun 2009 hingga April 2011 ialah sebanyak RM1.66 juta di seluruh negara," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah membuka premis perniagaan menggunakan pendaftaran palsu dan membuat pesanan pembelian barangan elekrik, arak, barangan perabot dan telefon bimbit daripada mangsa mereka.

"Apabila barangan yang dipesan sampai mereka akan membayar menggunakan cek tarikh tertunda dan kemudian menghilangkan diri meninggalkan pembekal yang tertipu dengan cek tendang," katanya.

Syed Ismail berkata pada tahun lepas sebanyak 124 kes seumpama itu dilapor di seluruh negara, melibatkan kerugian RM7.824 juta dan syarikat yang menggunakan modus operandi fly-by-night ini dikesan menjalankan aktiviti mereka di sekitar ibu negara, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti dalang sindiket ini," katanya.

ArtikelDiterbitkan 16 Jun 2014 5.42 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM