Polis Tahan Wanita Indonesia Rampas Syabu Bernilai Rm360 00
Balik
Pulau, 8 Nov - Polis menahan seorang wanita warga Indonesia dan
merampas 1.7kg syabu bernilai RM360,000 yang disorok di dalam bagasinya
di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini, Rabu lepas.
Ketua
Polis Daerah Barat Daya Mohd Hatta Mohd Zain berkata suspek berusia 38
tahun itu ditahan pada 7.40 malam di balai ketibaan setelah pasukan
keselamatan lapangan terbang curiga dengan bagasinya.
"Setelah
diperiksa kita dapati beg yang berisi pakaian itu telah diubah suai dan
dadah yang dibungkus beberapa lapisan plastik hitam berkenaan diletak
dalam keadaan tersembunyi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau
berkata polis turut menemui sejumlah mata wang asing iaitu Vietnam,
Indonesia, Hong Kong dan China dianggarkan bernilai RM830.
Katanya
menurut rekod perjalanan wanita itu, dia didapati menaiki penerbangan
terus dari Indonesia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
sebelum transit di Hong Hong Kong untuk ke Guang Zhou, China dipercayai
untuk mengambil bekalan dadah berkenaan.
"Dia
kemudiannya ke Hong Kong semula dan mengambil penerbangan terus ke
Pulau Pinang untuk mengedar dadah itu ke sekitar negeri ini," katanya.
Mohd
Hatta berkata polis percaya wanita yang telah berkahwin dan mempunyai
seorang anak lelaki berusia 16 tahun itu baru melibatkan diri dalam
kegiatan haram berkenaan.
Beliau
berkata modus operandi yang digunakan sindiket pengedaran antarabangsa
terbabit, menggunakan laluan perjalanan yang berbeza termasuk menukar
lauan darat dan udara mengikut keperluan semasa bagi mengelakkan
kegiatan mereka dikesan. Katanya wanita itu ditahan reman sehingga 13
Nov untuk siasatan.
Sumber : BERNAMA