Polis Melaka Tahan Lelaki Menyamar Polis Ugut Petani
Melaka,
8 Nov - Polis Melaka menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai
anggota polis dan melakukan peras ugut terhadap seorang petani
membabitkan wang RM10,000 di kantin Mahkamah Ayer Keroh, Rabu lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata
mangsa yang berusia 36 tahun berkenalan dengan lelaki terbabit di
mahkamah itu pada 11 Sept lepas dan mendakwa dapat menyelesaikan
pertuduhan kes dadah membabitkan mangsa.
Beliau
berkata suspek berusia 34 tahun terbabit mendakwa kononnya mengenali
pegawai kanan polis dan timbalan pendakwa raya di mahkamah berkenaan.
"Suspek
pada mulanya meminta RM500 daripada mangsa sebagai bayaran permulaan
dan bertindak memegang kad ATM mangsa sebelum meminta mangsa memasukkan
wang secara berperingkat ke dalam akaunnya mencecah RM10,000," katanya
dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya
mangsa kemudian menyedari dirinya dianiaya dan diperas ugut apabila
mendapati kesnya masih tidak selesai dan dibicarakan sebelum bertindak
membuat laporan polis.
Raja
Shahrom berkata berdasarkan laporan itu, polis menahan lelaki terbabit
pada pukul 2.15 petang, Rabu lepas, di kantin mahkamah itu dan merampas
sebuah beg duit, dua kad pengenalan milik orang kena tuduh dan sekeping
kad ATM milik mangsa.
Beliau berkata siasatan mendapati suspek turut dikehendaki polis berhubung kes penipuan di daerah Melaka Tengah.
Katanya suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan.
Sumber : BERNAMA