Polis Tahan Tiga Lelaki Rampas Dua Pistol Lapan Senjata Ta
Kota
Bahru, 29 Julai - Polis menahan tiga lelaki dan merampas dua pistol
serta senjata tajam dalam tiga serbuan di sini dan Pasir Mas.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan
Lazim berkata dalam serbuan pertama pada 11 malam tadi seorang lelaki
berusia 29 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Baung,
Pengkalan Chepa di sini.
"Lelaki
itu yang berasal dari Kampung Paya Bemban, Jalan Hospital di sini,
berada dalam keadaan mencurigakan dan ditahan ketika sedang masuk ke
dalam sebuah kereta jenis Proton Waja.
"Siasatan
menemui sebilah pedang samurai, dua bilah parang dan satu pisau lipat
yang disembunyikan dalam beg raket yang diletakkan di tempat letak kaki
penumpang di bahagian belakang kereta itu," katanya pada sidang akhbar
di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mazlan
berkata hasil semakan terhadap kereta itu mendapati kenderaan itu
dilaporkan hilang pada 19 Julai lepas di Kota Baharu dan suspek turut
positif dadah jenis Metaphetamine.
"Hasil
soal siasat ke atas lelaki berkenaan membawa kepada penahanan seorang
lagi suspek berusia 21 tahun yang menetap di Kampung Baung, Pengkalan
Chepa, di sini pada 12.30 pagi tadi.
"Suspek
itu bertindak mengeluarkan sepucuk pistol ketika dihampiri sepasukan
anggota polis. Berlaku pergelutan antara polis dan suspek, bagaimanapun
suspek berjaya ditahan," katanya.
Hasil
pemeriksaan menemui dua butir peluru dalam kocek kiri baju suspek,
sepucuk pistol jenis Col .38 termasuk lima butir peluru dalam kelongsong
pistol, sebilah parang dan pisau serta wang tunai berjumlah RM261.
Dalam
kes berasingan di Pasir Mas, Mazlan berkata pihaknya menahan seorang
lelaki berusia 49 tahun ketika sedang makan seorang diri di sebuah gerai
di kampung Chicha Tinggi, di sini, pada 2.45 pagi ini.
"Hasil
pemeriksaan turut menemui sepucuk pistol tiruan yang diselit di
bahagian pinggang suspek dan satu 'magazine' peluru yang kosong, selain
suspek turut positif ujian air kencing," katanya.
Ketiga-tiga suspek ditahan reman antara empat hingga tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Sumber : BERNAMA