Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Tahan Suspek Kes Samun Kenderaan

Published: 17 Jun 2014 4.16 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam empat kes samun kenderaan, selepas trak pikap yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Air Manis, Bakri, dekat Muar..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-suspek-kes-samun-kenderaan
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 20:21 MYT
JOHOR BAHARU, 4 Jun (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam empat kes samun kenderaan, selepas trak pikap yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Air Manis, Bakri, dekat Muar, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kemalangan terbabit berlaku pada 10 pagi dan hasil pemeriksaan polis, mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux itu dilaporkan hilang dalam kejadian samun.

"Polis menemui sejumlah mata wang negara ini dan asing dipercayai hasil samun iaitu RM3,668, 50 dolar Singapura, 122 dolar Amerika Syarikat, 6 dolar Brunei, 60 dolar Hong Kong, 20 baht Thailand dan 10,000 rupiah Indonesia, kad pengenalan, dokumen serta empat telefon bimbit milik mangsa samun dalam kenderaan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini Selasa.

Mohd Mokhtar berkata kedua-dua mereka yang berumur lingkungan 30-an itu dipercayai terlibat kes samun kenderaan di Muar dan Batu Pahat dan kini direman sehingga Khamis.

Katanya suspek mempunyai rekod berkaitan samun dan mendatangkan kecederaan serta ujian air kencing juga menunjukkan mereka positif dadah.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya percaya berjaya menyelesaikan satu kes samun kenderaan dan 10 kes pecah rumah selepas menahan dua lelaki di Taman Pelangi, di sini minggu lepas.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Chevrolet, ditahan selepas polis menerima maklumat dan pemeriksaan ke atas kereta itu kemudian menemui sepucuk pistol revolver .38 bersama 11 butir peluru hidup.

"Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di bandar raya ini dan menemui sepasang gari, dua pucuk pistol palsu, selaras senapang gas, selaras senapang kayu buatan sendiri, dokumen diri dan dua telefon bimbit dipercayai hasil samun.

"Kedua-dua suspek mempunyai rekod berkaitan samun dan pecah rumah. Seorang daripada mereka baru dibebaskan daripada Penjara Kluang pada 30 April lepas, selepas empat tahun dipenjara atas kesalahan samun," katanya.

Kedua-dua mereka yang berumur 32 dan 42 tahun itu kini direman untuk siasatan.



-- BERNAMA
ArticlePublished 17 Jun 2014 4.16 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM