Polis Tahan Suspek Kes Rompak Kedai Emas
Kota
Bharu, 11 Sept - Seorang lelaki yang terlibat dalam kes rompakan kedai
emas di pekan Pasir Mas semalam, ditahan polis kira-kira tiga jam
selepas melakukan jenayah itu ketika sedang berehat di bawah sebuah
rumah di Kampung Machang Gochoh, Meranti, Pasir Mas.
Suspek
berumur 43 tahun itu ialah pemandu kereta yang menunggu suspek utama
kes melarikan beberapa gelang emas bernilai kira-kira RM10,000 dari
kedai itu dengan menyamar ingin membeli cincin pertunangan, di luar
premis.
Ketua
Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliludin Rahim berkata sejurus mendapat
maklumat mengenai kes tersebut, unit peronda polis telah mengesan kereta
yang dipandu suspek di simpang empat lampu isyarat stesen minyak
Petronas di Rantau Panjang.
Menyedari
kehadiran unit peronda, suspek memecut keretanya yang turut dinaiki
seorang lagi suspek, menghala ke arah jalan lama Rantau Panjang-Pasir
Mas, sebelum kenderaan itu terbabas di kawasan Sawah Kampung Banggol Che
Musa, Meranti.
Haliludin
dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata kedua-dua suspek tersebut
kemudiannya melarikan diri ke dalam semak berhampiran kawasan berkenaan
sebaik sahaja melihat kehadiran anggota polis.
Bertindak
atas maklumat, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah
Pasir Mas berjaya menangkap pemandu kereta berkenaan dalam serbuan di
sebuah rumah di Kampung Machang Gochoh pada pukul 6.40 petang, katanya.
"Hasil
ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis
methaphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12
(2) Akta Dadah Berbahaya," katanya.
Sehubungan
itu, pihaknya kini giat memburu suspek utama yang berasal dari Kampung
Gong Chengal Tanah Lot Kemasek, Kemaman, Terengganu.
Sumber : BERNAMA