Polis Tahan Suspek Bersama M16 Selepas Setengah Jam Merompak
Tanah
Merah, 31 Dis - Polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dan
merampas selaras M16, kira-kira setengah jam selepas suspek itu merompak
sebuah kedai serbaneka di sini, malam tadi.
Timbalan
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata lelaki itu ditahan
ketika sedang minum bersama dua lagi rakannya yang turut terbabit dalam
rompakan yang dilakukan mereka pada kira-kira 8.15 malam.
"Anggota
polis telah mengesan kenderaan yang digunakan mereka iaitu hanya jarak
dua kilometer dari tempat kejadian namun apabila mengetahui kehadiran
polis, ketiga-tiga mereka yang minum di sebuah kedai makan berhampiran
telah melarikan diri.
"Polis
berjaya menahan seorang lelaki berumur 51 tahun selepas bergelut dan
terpaksa melepaskan tembakan ke udara manakala dua lagi rakannya telah
melepaskan diri dalam semak berhampiran," katanya kepada pemberita di
sini, malam tadi.
Mazlan
berkata polis kemudiannya menemui senjata api jenis Colt M16
bersama-sama satu kelopak megazin dan sebilah parang, sabit serta pisau
lipat dalam kereta itu.
Polis
kini giat memburu dua lagi lelaki dan meminta kerjasama orang ramai
yang mempunyai sebarang maklumat agar menghubungi polis, katanya.
Beliau
berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api
(Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati, jika sabit
kesalahan.
Mazlan
berkata sebelum itu ketiga-tiga lelaki yang memakai topeng itu telah
merompak kedai berkenaan dan melarikan wang tunai sebanyak RM300 setelah
seorang daripadanya melepaskan satu das tembakan ke arah peti sejuk di
kedai itu.
"Mereka
kemudiannya telah mengarahkan pekerja kedai membuka laci mesin tunai
dan terus mengambil wang tunai tersebut dan kemudiannya melarikan diri
bersama hasil rompakan dengan sebuah kereta," katanya.
Menurutnya lelaki yang ditahan itu merupakan rakyat tempatan.
Sumber : BERNAMA