Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

35 Wanita Warga Asing Diselamatkan Dari Pusat Urut

Diterbitkan: 18 Jun 2014 7.02 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.35 PM
Kuala Lumpur, 30 Dis - Seramai 35 wanita pelbagai warganegara yang dipercayai menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia diselamatkan polis dalam operasi serentak di tiga pusat urut di Platinum Wal..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/35-wanita-warga-asing-diselamatkan-dari-pusat-urut
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 15:39 MYT

Kuala Lumpur, 30 Dis - Seramai 35 wanita pelbagai warganegara yang dipercayai menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia diselamatkan polis dalam operasi serentak di tiga pusat urut di Platinum Walk, Setapak di sini, Khamis lepas.

Dalam serbuan pukul 8 malam itu, tiga wanita warga Vietnam, 10 wanita warga China, 12 wanita warga Thailand dan 10 wanita warga Filipina berusia lingkungan 20 dan 30 tahun diselamatkan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat(D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Roslee Chik berkata hasil siasatan mendapati wanita berkenaan dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan darat dan udara.

"Kesemua wanita berkenaan memasuki negara ini sejak lima bulan lalu dengan menggunakan visa lawatan sosial, visa pelajar serta visa pembantu rumah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menahan enam suspek iaitu empat lelaki tempatan, seorang lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Filipina yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memperdagangkan wanita berkenaan.

"Modus operandi mereka (suspek) adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan kerja urut tetapi akhirnya paksa mangsa lakukan pelacuran... Ada mangsa yang dikenakan ikatan hutang antara RM5,000 hingga RM13,000, di mana mangsa terpaksa melakukan kegiatan tidak bermoral itu untuk melangsaikan hutang ejen".

Roslee berkata polis turut merampas wang tunai sebanyak RM3,720 serta paket-paket kondom, buku daftar dan pasport di lokasi berkenaan.

"Ketiga-tiga pusat itu yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, mengenakan kadar bayaran RM100 hingga RM200 untuk perkhidmatan mengurut serta seks," katanya.

Roslee berkata kesemua enam suspek kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Kesemua mangsa ditempatkan di rumah perlindungan sehingga 9 Jan, katanya.
 
Sumber : BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 18 Jun 2014 7.02 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.35 PM