Polis Tahan Pasangan Thailand Miliki 31 Botol Heroin Rm120 000
Kota
Bharu, 20 Jan - Sepasang suami isteri warganegara Thailand ditahan
polis di Lebuhraya Pasir Mas-Salor di sini semalam setelah didapati
memiliki 31 botol heroin seberat 90.3 gram yang dianggarkan bernilai
RM120,000.
Ketua
Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata semasa memeriksa
kenderaan mereka pada 12.25 tengah hari, polis menemui satu botol
mengandungi bahan lutsinar berwarna putih seberat 0.3 gram dipercayai
dadah heroin di bawah tempat duduk penumpang.
Beliau
berkata pemeriksaan lanjut kira-kira lima meter dari kereta pasangan
itu, polis menemui satu bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi 30
botol heroin dibungkus surat khabar di dalam semak.
"Setiap
botol mengandungi bahan lutsinar seberat tiga gram dan dipercayai
dibuang suspek sebelum ditahan anggota polis yang melakukan
pemeriksaan," katanya dalam sidang media di IPD Kota Baharu di sini,
hari ini.
Menurutnya rampasan dadah itu adalah yang terbesar melibatkan warga asing sejak tiga tahun lepas oleh Narkotik IPD Kota Baharu.
Azham
berkata siasatan mendapati lelaki berusia 52 tahun dan isterinya yang
berusia 43 tahun menjalankan perniagaan menjual diesel di negara mereka.
Mereka
memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah apabila Pas Lawatan
Sempadan masing-masing telah tamat tempoh sejak sebulan lepas.
"Kedua-dua
suspek dipercayai masuk ke negara ini sejak dua hari lepas dan ditahan
ketika dalam perjalanan menuju ke Rantau Panjang. Kami percaya heroin
yang dimiliki suspek adalah untuk pasaran tempatan.
"Kami
juga tidak menolak kemungkinan penglibatan sindiket pengedaran dadah
antarabangsa yang turut menggunakan orang tempatan untuk mengedarkan
bahan terlarang itu di negara ini," katanya.
Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif ujian dadah direman tujuh hari bermula hari ini.
Kes
itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang
memperuntuk hukuman gantung mandatori dan Seksyen 12(2) Akta Dadah
Berbahaya 1952, yang memperuntuk denda sehingga RM100,000 atau penjara
lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sumber : BERNAMA