Polis Johor Tahan 27 Pencuri Lembu Tahun Lepas
Johor
Bahru, 20 Jan - Polis Johor menahan 27 orang dan mendakwa lapan
daripada mereka berhubung kes curi lembu di seluruh negeri ini pada
tahun lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Hasnan Hassan berkata tahun lepas
sahaja, sebanyak 28 laporan diterima berhubung kes kehilangan lembu.
Berikutan
itu, katanya polis menjalin kerjasama erat dengan Koperasi Penternak
Lembu Tenusu negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri bagi
membanteras kegiatan itu.
"Hasil
siasatan, kita melakukan 14 serbuan di kandang lembu di sekitar Negeri
Sembilan, Johor, Melaka dan Selangor bersama wakil koperasi dan berjaya
merampas kembali 172 ekor lembu yang dilaporkan hilang di negeri ini.
"Dalam
serbuan itu, kita juga berjaya merampas sebuah lori, sebuah kereta,
peralatan menyumpit dan ubat pelali selain sejumlah senjata," katanya
dalam kenyataan di sini hari ini.
Justeru,
Hasnan berkata dakwaan yang menyatakan polis tidak berusaha menangkap
penjenayah dan mengesan lembu-lembu hilang adalah tidak benar sama
sekali dan tohmahan itu dilakukan semata-mata untuk menjatuhkan imej
polis.
Beliau
mengulas perhimpunan awam yang dilakukan sekumpulan orang ramai di Ibu
Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Sabtu lepas, kerana dikatakan
tidak berpuas hati dengan tindakan polis menangani isu itu di negeri
ini.
Hasnan
berkata orang ramai tidak perlu berhimpun untuk mendapatkan maklumat
berhubung siasatan polis dalam isu itu kerana ruang pertanyaan terbuka
luas untuk mereka mendapatkan maklumat berhubung perkara itu pada
bila-bila masa.
"Berhimpun
untuk menyelesaikan kes jenayah hanya akan mengundang kesalahan di
bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan polis boleh mengambil tindakan
terhadap penganjur dan peserta kerana berhimpun tanpa notis.
"Tindakan
juga boleh diambil kerana menganjur dan menyertai perhimpunan di tempat
larangan dan dalam jarak 50 meter dari had tempat larangan," katanya.
Sumber : BERNAMA